Home Tempatan Himpunan sokong RUU Hadi berakhir dengan kutip sampah

Himpunan sokong RUU Hadi berakhir dengan kutip sampah

SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 10 jam berkampung di Padang Merbok, puluhan ribuan peserta Himpunan RUU355 mengakhiri perhimpunan dengan mengutip sampah di semua kawasan terlibat.

Kira-kira 2,000 sukarelawan yang ditugaskan sempena perhimpunan dilihat mengutip sampah ketika perhimpunan tamat.

“Kami kutip sampah ini bukti penyertaan himpunan kami ini bersih dan patut disokong semua rakyat yang hadir,” kata Nur Mazni Mohamed ketika ditemui.

“Kita kutip sampah ini sukarela, selaras dengan tuntutan agama Islam,” kata sukarelawan Mohd Fadli Saari.

Para peserta juga dibekalkan dengan beg plastik sampah.

Sementara itu, pihak urusetia program mengarahkan para perniaga supaya membersihkan kawasan jualan.

“Kita minta para perniaga supaya bersihkan kawasan jualan dan mematuhi semua janji yang dibuat sebelum himpunan,” katanya seusai ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diikuti laungan takbir.

Perhimpunan RUU 355 hari ini dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, dan berakhir dengan penyertaan kecil pada 6.00 petang tadi.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei tahun lalu oleh Hadi bertujuan memberikan Mahkamah Syariah kuasa menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam

Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan ke sidang berikut pada bulan depan bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan, berbanding hukuman semasa yang mengehadkan 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Free Malaysia Today

Comments