Home Tempatan Himpunan RUU 355 untuk jaga maruah Islam, kata PAS

Himpunan RUU 355 untuk jaga maruah Islam, kata PAS

Tuan Ibrahim mengarahkan parti membatalkan semua program pada 18 Februari ini supaya ia boleh menggerakkan sebanyak mungkin ahli untuk menyertai Himpunan 355.

SHARE

KUALA LUMPUR: Himpunan RUU 355 bertujuan mempertahankan maruah Islam dan PAS, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru rakyat keluar beramai-ramai untuk menyertai perhimpunan pada 18 Februari ini.

Berucap di hadapan kira-kira 100 orang pada jelajah pertama PAS untuk menyokong Himpunan RUU 355, Tuan Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan parti membatalkan semua program pada hari terbabit bagi membolehkan ahlinya menyertai perhimpunan aman itu.

“Sertai perhimpunan itu sama ada sebagai peserta atau sukarelawan. Kami mahu seramai mungkin anak muda mengambil bahagian.”

Timbalan presiden PAS itu juga yakin perhimpunan berkenaan akan menjadi batu loncatan kepada semua perhimpunan yang bakal diadakan dalam negara ini.

Katanya, keamanan dan kebersihan perlu dikekalkan sepanjang perhimpunan itu dan beliau menyeru “semua orang membawa beg plastik kerana tidak mahu tempat itu kotor pada akhir perhimpunan”.

“Ini adalah perhimpunan kami dan saya mahu ia menjadi perhimpunan paling aman anjuran PAS.”

Himpunan RUU 355 menyasarkan kira-kira 300,000 orang berkumpul di Dataran Merdeka bagi menunjukkan sokongan kepada rang undang-undang persendirian yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman lebih berat.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan PAS mengadakan Himpunan RUU 355 di Stadium Titiwangsa kerana kementeriannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka.

Tuan Ibrahim sebaliknya berkata, PAS akan tetap cuba berunding dengan Tengku Adnan untuk membenarkan mereka berhimpun di Dataran Merdeka.

“Kami akan tunggu jawapan rasmi beliau dan kami akan respons. Kemudian, kami akan berjumpa semua pihak berkuasa berkaitan supaya ia menjadi perhimpunan aman dan harmoni.

“Kalau boleh, kami lebih suka mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka. Kami akan terus cuba.”

Pada 24 November lalu, presiden PAS meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu bertujuan membolehkan pindaan dilakukan terhadap RUU 355.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Free Malaysia Today

Comments