Home Tempatan Himpunan RUU 355 bawa suara orang Islam ke Parlimen

Himpunan RUU 355 bawa suara orang Islam ke Parlimen

SHARE
DATUK Seri Jamil Khir Baharom berucap pada forum Himpunan Solidariti Ummah Memartabatkan Undang-undang Syariah 2017 di Masjid Al-Huda, sebentar tadi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

SUNGAI BULOH: Penganjuran Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, semalam membawa suara orang Islam untuk disampaikan kepada semua 222 ahli Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata ia bagi mengingatkan Ahli Parlimen supaya mendengar suara orang Islam di Malaysia, yang mahu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dipinda dan diperkasakan.

“Sebelum ini, ada pihak yang mempertikaikan himpunan ini kononnya tidak memberi sebarang makna kerana pindaan undang-undang bukan dilakukan di Padang Merbok, sebaliknya di Dewan Rakyat.

“Namun, ingin saya tegaskan, himpunan ini amat bermakna untuk membawa suara umat Islam ke Dewan Rakyat supaya semua 222 Ahli Parlimen dapat mendengar suara umat Islam bagi meminda RUU 355,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis dalam forum Himpunan Solidariti Ummah Memartabatkan Undang-undang Syariah 2017 di Masjid Al-Huda, di sini, sebentar tadi.

Forum itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Prof Datuk Mahamad Naser Disa dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan Tantawi sebagai panelis forum.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Nasruddin berkata, terdapat segelintir pihak yang cemburu melihat umat Islam boleh duduk berkumpul bersama tanpa mengira latar belakang seperti yang berlaku dalam Himpunan RUU 355, semalam.

Katanya, pihak terbabit tidak mahu melihat syariat Islam berkembang di Malaysia dan kerana itu, sedaya upaya mahu memastikan usaha memperkasakan RUU 355 gagal.

“Himpunan semalam juga bukan bermotifkan politik atau untuk menang pilihan raya umum, tetapi adalah untuk menegakkan syariat Islam di negara ini.

“Ia adalah untuk umat Islam tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik hadir bagi menyuarakan sokongan terhadap RUU 355,” katanya.

Berita Harian

Comments