Home Kolumnis Himpunan 812 Bukti Kedamaian Islam

Himpunan 812 Bukti Kedamaian Islam

SHARE
Sumber Gambar: Kosmo

Himpunan membantah ratifikasi ICERD yang telah berlangsung pada 8hb Disember lepas dengan kehadiran ratusan ribu umat, merupakan testamen kepada kedamaian Islam. Walaupun setiap inci Kuala Lumpur khasnya yang berdekatan dengan kawasan Dataran Merdeka dipenuhi jiwa-jiwa yang hadir supaya Islam dihormati dan tidak diperkotak-katikkan, apalagi di Malaysia yang mendukung Islam sebagai Agama bagi Persekutuan, tiada seinci pun kerosakan yang berlaku dan tiada satu nyawa pun yang dilaporkan terkorban. Sesungguhnya, Islam dan umat Islam sangat cintakan kedamaian.

Apatah lagi ianya tidak berlangsung dengan kata-kata kesat, menghina atau dipenuhi dengan aksi-aksi kurang sopan seperti memijak-mijak gambar wajah pemimpin-pemimpin tertentu. Tiada juga kelihatan sesiapa yang membawa penyapu untuk menghalau mana-mana kaum. Malah ianya berlangsung dalam suasana damai umpama pesta dengan jeritan slogan dan takbir kedengaran bersahutan. Kumpulan minoriti yang menggunakan kenderaan awam juga tidak diganggu-gugat. Mereka kelihatan bebas bergerak menjalankan aktiviti seharian mereka, walaupun keadaan sememangnya sangat sesak. Ini semua berlawanan dengan tuduhan bahawa himpunan 812 bertunjangkan kepada sebuah premis perkauman dan membahayakan ketenteraman awam.

Hakikatnya, perhimpunan maha ramai ini yang ulung-ulung kali berlaku di Malaysia tidak menyaksikan aksi polis dibaling botol atau kayu bata, bas atau tren dihalang pendemo, anggota bomba dipukul separuh nyawa ataupun kereta polis diterbalikkan dan harta benda awam dirosakkan. Semua ini syukur dipanjangkan kepada Allah SWT sememangnya tidak berlaku.

Malah usai majlis juga kelihatan orang ramai dan khasnya petugas Unit Amal PAS (parti yang sering dilabel ekstremis agama) mengetuai kempen mengutip sampah seperti yang telah diwar-warkan awal oleh pihak penganjur kepada para pendemo. Sehinggakan kawasan sekeliling himpunan kelihatan sangat bersih seperti tiada apa yang berlaku beberapa jam sebelumnya.

Semestinya seperti yang diperjelaskan pihak penganjur, yakni UMMAH, perhimpunan tersebut diadakan sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memutuskan untuk tidak meratifikasikan ICERD. Hal ini diakui oleh Perdana Menteri sendiri dan beliau sebelum perhimpunan berlangsung mengucapkan video terima kasih atas Himpunan 812.

Namun ianya juga dihadiri oleh mereka-mereka yang mahu semua rakyat Malaysia, tidak kira etnik dan keturunan dan juga kedudukan untuk berterusan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan segala sesuatu yang termaktub di dalamnya termasuklah kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan dan Perkara 153 yang terbukti berjaya membawa kemajuan dan kedamaian di Malaysia.

ICERD juga ditentang keras kerana ianya bakal membuka peluang kepada badan asing seperti PBB dan Jawatankuasa ICERD yang terdiri daripada orang asing untuk mempersoalkan dan mungkin juga membatalkan peruntukan-peruntukan yang diperkirakan sebagai berasaskan kaum dan agama seperti yang telah dipersetujui semua pihak. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan harus didukung kuat dan bukannya konvensyen atau undang-undang asing. Ini yang dikatakan ICERD itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka haruslah ditentang.

Setelah lebih 60 tahun lama, kumpulan minoriti dalam negara ini seharusnya berhenti atau mula belajar tidak berprasangka buruk lagi dengan kaum majoriti yang jelas telah menjaga baik keberadaan mereka. Tentunya sukar, kerana tidak seperti di Indonesia contohnya, kita sememangnya tidak bercakap dalam satu bahasa. Namun hakikatnya, di Malaysia kaum minoriti hidup bebas, bebas juga untuk mengumpul harta dan kekayaan dan beribadat seluas-luasnya sehinggakan rumah-rumah ibadat yang dibina haram juga dibiarkan saja seolah-olah pihak penguasa sedari dulu menutup sebelah mata. Jika sebaik itu layanan yang diberikan masih lagi kaum majoriti dilihat sebagai kejam dan apartheid, mungkin negara kita ini tidak dapat tidak cuma sebuah negara yang ‘retak menanti belah’.

Nauzubillah.

Comments