Home Tempatan Himpunan 355 bukan himpunan politik

Himpunan 355 bukan himpunan politik

SHARE

SHAH ALAM – Pas mendakwa Himpunan 355 yang akan berlangsung pada 18 Februari ini bukannya himpunan  politik dan bukan juga untuk mengagungkan agenda peribadi mana-mana pemimpin, kelompok atau individu.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Shahir Datuk Mohd Shahir berkata, sebaliknya himpunan itu adalah bertujuan untuk penyatuan seluruh majoriti umat Islam di Malaysia melalui kehadiran mereka menzahirkan persetujuan dan sokongan terhadap semangat pindaan pada Akta Mahkamah Syariah (Akta355) yang mahu memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Pindaan terhadap akta berkenaan yang akan dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat bulan Mac nanti bermaksud memberi kuasa kepada mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia, untuk mempertingkatkan hukuman atas beberapa kesalahan jenayah syariah agar setimpal dan selaras dengan yang diperuntukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan 355 untuk semua]

Mengulas lanjut, Shahir berkata, pindaan ini nanti mahu mendekatkan umat Islam di Malaysia untuk mengamalkan ajaran sebenar agama mereka, suatu yang dijamin haknya di dalam Perlembagaan Malaysia.

“Ia tiada kaitan dan hubungan langsung dengan mana-mana warganegara Malaysia yang bukan Islam yang sepatutnya tidak bimbang dan gusar dengan himpunan ini,” katanya.

Katanya lagi, simbolik Himpunan 355 ini nanti sebagai suatu peringatan kepada seluruh ahli-ahli Dewan Rakyat, khasnya yang beragama Islam agar bersama-sama memberi undi dan menyokong pindaan Akta 355 ini nanti apabila ia dibahas dan diundi di Dewan Rakyat kelak.

“Ini kerana rakyat khasnya umat Islam yang merupakan pengundi-pengundi mereka menyokong penuh usaha yang mahu mendekatkan ummah kepada ajaran Islam sebenar.

“Dan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang bukan Islam, rakyat beragama Islam sangat mengharapkan agar mereka memahami dan akur pada kehendak umat Islam itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi seluruh ahli Dewan Rakyat sama ada daripada Umno, Pas, PKR, DAP dan lain-lain parti yang punya wakil orang Islam diharapkan dapat mengenepikan kepentingan masing-masing dan bersatu menyokong usaha murni ini demi Islam dan pemerkasaannya dalam negara.

“Menentang usaha ini bermakna menentang usaha untuk memartabatkan Islam dalam negara, sudah pasti perbuatan itu nanti amat dikesali, khasnya dalam keadaan umat Islam boleh bersatu mendukungnya,” katanya.

Sinar Online

Comments