Home Tempatan ‘Hidupkan hati yang telah mati’

‘Hidupkan hati yang telah mati’

SHARE
Peserta program Breakfast Talk World #QuranHour membaca doa bersama-sama sebelum majlis bermula.

PUTRAJAYA – Slot Gema Wahyu pada program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan tahun ini, bakal menyemarakkan bacaan al-Quran.

Penasihat Modul Quran Hour, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman berkata, aktiviti Gema Wahyu bukan sahaja mengajak masyarakat Islam mendengar dan membaca al-Quran, malah membantu menghidupkan semula hati-hati yang telah mati terhadap ALLAH SWT dan kitab suci tersebut.

“Lebih menariknya, melalui slot ini, kita turut tampilkan individu-individu yang telah kembali kepada al-Quran dan ALLAH SWT, di mana sebelum ini mereka telah tersasar dari landasan yang benar,” katanya selepas program Breakfast Talk World #Quranhour, semalam.

Tarmizi yang juga qari terkemuka tanah air berkata, setiap bacaan yang diperdengarkan dalam aktiviti Gema Wahyu tersebut akan ditadabbur oleh penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dan Ustazah Norhafizah Musa.

Katanya, terdapat beberapa qari terkemuka yang turut sama dalam program tersebut seperti Ustaz Amir Rahman Abas, Ustaz Mohd Zahil, remaja cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dan beberapa artis tempatan seperti Ameng Spring, Johan Ashaari, Shamsul Ghau Ghau serta ramai lagi.

“Ada qari akan buat bacaan secara mujaawwad, malah ada juga akan buat bacaan secara murottal dan kita harapkan dengan kehadiran ikon-ikon ini, maka Dataran Merdeka akan bergema pada petang 31 Ogos nanti dengan bacaan al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas pemilihan surah Yasin sebagai surah tema World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, Tarmizi berkata, ia adalah langkah tepat dalam usaha melahirkan peribadi Islam sejati sekali gus memupuk erti kemerdekaan negara sebenar.

Katanya, surah Yasin berkait rapat dengan persoalan hati, kasih sayang, budi bahasa, malah menghidupkan hati-hati yang telah mati serta jauh daripada al-Quran.

“Surah Yasin adalah surah yang berkait rapat dengan manusia dan saya amat tertarik dengan pemilihan tema pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, walaupun program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour dianjurkan sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, namun pihaknya meletakkan sasaran kehadiran seramai 5,000 orang.

Beliau berkata, kehadiran seramai 5,000 orang tersebut terbuka kepada semua masyarakat yang menetap di sekitar Lembah Klang termasuk golongan gelandangan.

“Kita juga akan meraikan komuniti antarabangsa walaupun bukan dari kalangan orang Islam, di mana pada akhir majlis akan diadakan jamuan hari raya buat semua,” katanya.

Mengulas lanjut perjalanan program itu, Marhaini memaklumkan aktiviti di Dataran Merdeka akan bermula pada jam 4 petang dan diteruskan dengan solat berjemaah secara beramai-ramai.

Pada malamnya, Marhaini berkata, program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour akan dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Al-Baqarah bermula dari ayat satu hingga lima.

“Kemudian, kita akan teruskan program berinteraksi dengan surah Yasin yang dipimpin bacaannya oleh 21 qari pilihan nanti.

“Dalam bacaan surah Yasin itu, kita akan ada tujuh kali tadabbur dan pengisian tentang surah berkenaan di mana ia penting kerana kita tak nak sekadar baca tapi nak bawa kepada pemahaman.

“ Akhirnya kita sendiri dapat bertindak untuk keluarkan apa-apa nilai yang ada daripada surah Yasin itu,” katanya.

Sinar Online

Comments