Home Tempatan Hiburan lucah pupuk budaya zina, kata Nasrudin

Hiburan lucah pupuk budaya zina, kata Nasrudin

SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) memberi 3 faktor menularnya “industri penzinaan dan pelacuran” yang semakin serius.

Ketua penerangan PAS itu berkata, hiburan berbentuk lucah yang dipaparkan secara terbuka menjadi salah satu punca menularnya budaya zina.

“Makna lucah tidak semestinya ‘tiada seurat benang’, tetapi ia termasuk pendedahan aurat, menampakkan bentuk badan atau menari dengan tarian menggiurkan.

“Faktor ke-2 adalah pergaulan bebas dan budaya ‘couple’ yang berleluasa mutakhir ini, dan faktor ke-3, kurangnya didikan agama termasuk di sekolah,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan beliau itu susulan isu “industri dosa” seperti pelacuran, judi dan dadah yang dibangkitkan Ahli Parlimen Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) minggu lalu.

“Perbuatan zina akan membawa kepada kelahiran anak luar nikah yang tinggi,” katanya dengan melampirkan statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), iaitu sebanyak 159,725 kes kelahiran anak luar nikah dilaporkan sejak 2013 hingga 2016.

“Kes buang bayi biasanya berpunca daripada kehamilan luar nikah hasil dari perbuatan zina,” katanya.

Menurut statistik polis, sejumlah 432 kes buang bayi berlaku antara 2011 hingga Jun 2015. Kementerian Kesihatan pada 2015 pula menyatakan 3,980 (28.8%) daripada 13,831 remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah.

Pendidikan seks bukan jawapan

Beliau berkata, pendidikan seks bukanlah jawapan bagi menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

“Ada yang mencadangkan pendidikan seks di sekolah, ia mungkin mampu mencegah kehamilan luar nikah tapi bukan mencegah zina,” katanya yang mendakwa sensitiviti masyarakat terhadap masalah anak luar nikah kian makin hilang.

Beliau membangkitkan iklan seks selamat yang menggalakkan penggunaan kondom beberapa tahun lalu.

“Wanita dalam iklan itu kata ‘no condom no way’.

“Dia sekadar mempromosikan kondom, bukannya mencegah zina, ini adalah penyelesaian yang tidak menyeluruh,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah bukan saja mencegah zina, tetapi “menutup” apa-apa suasana dan keadaan yang boleh membawa kepada masalah itu.

Free Malaysia Today

Comments