Home Tempatan Henti Tohmah & Fitnah Jenazah Kassim Ahmad – Penguatkuasa Pejabat Agama Kulim

Henti Tohmah & Fitnah Jenazah Kassim Ahmad – Penguatkuasa Pejabat Agama Kulim

SHARE

KEDAH: Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) mengesahkan jenazah penulis kontroversi Kassim Ahmad, 84, yang meninggal dunia di Hospital Besar Kulim, sekitar jam 10 pagi Selasa lalu telah selamat diuruskan mengikut syariat Islam dan sekaligus menolak dakwaan menyatakan jenazah Allahyarham dikendalikan oleh seorang paderi mengikut agama tertentu.

Pegawai Agama Daerah Kulim Sheikh Ahmad Muzamir Yup berkata, apa yang pihaknya dimaklumkan, paderi itu merupakan jiran dan sahabat lama Allahyarham sahaja, dan kehadirannya hanyalah untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Katanya, “Kita tidak boleh mempertikaikan soal aqidah seseorang itu tanpa bukti secara lisan yang sahih dan tanpa mempunyai pengakuannya sendiri dengan rela untuk keluar Islam.”

Menurutnya, “Selagi beliau masih mengucap kalimah syahadah maka, aqidahnya sebagai orang Islam masih diterima dan biarlah Allah SWT sahaja yang menentukan kedudukannya dan jangan kita meletakkan hukuman tertentu kepadanya.”

Soal Islam atau tidak Kassim Ahmad itu di luar pengetahuan pihaknya, ini kerana sehingga kini tidak ada fatwa yang dikeluarkan oleh MAIK mengenai status mana-mana agama lain Kassim Ahmad selain Islam yang dianutinya.

Sementara itu, Penguatkuasa Pejabat Agama Kulim, Ustaz Azmi Rejab berkata, walau apapun yang dilakukan dan ditafsirkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai Kassim Ahmad namun, kad pengenalan Kassim Ahmad masih menyatakan beliau beragama Islam dan biar Allah SWT sahaja yang menentukannya.

“Di kad pengenalannya juga masih tertera status agama Islam sebagai agama pegangannya dan tidak ada rekod beliau meminta untuk menukar agama dan sebagainya.”

Menurutnya, jenazah Kassim Ahmad diurus dan disembahyangkan dengan kaedah Islam seperti biasa sahaja oleh qariah dan ahli keluarganya di sini selepas solat Maghrib, kelmarin.

Azmi Rejab berkata, ketika itu sudah hampir waktu maghrib, jadi jemaah yang hadir sahaja yang menjalankan solat jenazah termasuk ahli keluarga dan jiran terdekat mengikut landasan syariat Islam seperti kebiasaannya.

Beliau berkata, jenazah selamat disimpan di Tanah Perkuburan Masjid Nurul Huda Qariyah, Kelang lama, Kulim selepas solat Maghrib dan segalanya berjalan lancar dan tidak ada perkara pelik yang berlaku pun ketika pengurusan jenazahnya dilakukan.

“Saya sedih melihat masih terdapat viral di media sosial yang mana mereka yang rata-rata bercakap itu sendiri pun tidak hadir ketika hari perkebumian.”

“Hentikanlah tohmahan dan dakwaan ini yang dalam masa yang sama boleh memburukkan keadaan sekaligus menghina Islam secara keseluruhannya,” katanya yang merupakan salah seorang yang hadir menguruskan jenazah sehingga selesai urusan pengkebumian.

Menurutnya, perkara tersebut amat bertentangan dengan pelbagai dakwaan yang menghina jenazah dan masih viral di Facebook sehingga sekarang.

Mengenai kehadiran seorang paderi yang dikatakan menyembahyangkan jenazah Kassim Ahmad, perkara itu adalah tidak benar.

Beliau berkata, paderi itu sebenarnya merupakan jiran lama Kassim Ahmad yang juga merupakan sahabat lama Allahyarham dan hadir hanya untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

“Bukan untuk menjalankan upacara keagamaan seperti yang didakwa netizen dan beberapa keyboard warrior di Facebook,” ujar beliau.

Beliau berharap semua pihak dapat menghentikan membuat fitnah terhadap perkara ini yang dilihat hanya menjurus kepada penghinaan terhadap institusi Islam dan agama Islam itu sendiri.

“Sebagai orang Islam, kita tidak diajar untuk menghukum malah diajar untuk mendoakan kebaikan sahaja kepada saudara sesama Islam,” katanya.

Comments