Home Tempatan Henti polemik pengagihan organ

Henti polemik pengagihan organ

SHARE
KOTA KINABALU 04 NOVEMBER 2016. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye ketika sidang media di Pejabat NIOSH Sabah, di Kota Kinabalu. NSTP/EDMUND SAMUNTING

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menghentikan polemik mengenai pengagihan organ berdasarkan bangsa dan agama kerana perkara itu hanya menimbulkan kekeliruan yang menyebabkan semakin ramai membatalkan hasrat mereka untuk menjadi penderma organ dan darah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, adalah tidak wajar untuk mengaitkan isu kaum dan agama dalam membincangkan mengenai pendermaan organ kerana ia membabitkan nyawa mereka yang amat memerlukan bantuan organ dan juga darah.

Katanya, mereka yang keliru mengenai perkara itu sepatutnya merujuk kepada kumpulan yang mempunyai kepakaran dalam hal pendermaan organ termasuk individu yang arif dalam bidang agama atau ulama.

“Saya menasihatkan supaya mereka yang bercadang untuk menderma organ supaya berbincang atau memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan apabila mereka telah meninggal dunia.

“Individu yang berusia di bawah 18 tahun pula perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga untuk berdaftar sebagai pengikrar penderma organ,” katanya dalam kenyataan di sini semalam bagi mengulas mengenai kekeliruan ramai berhubung pengagihan organ daripada penderma yang meninggal dunia.

Kelmarin, seorang pengarah dan penyanyi rap kontroversi Namewee mempersoalkan status darah atau organ yang bakal didermakannya kelak kerana beliau bukan beragama Islam.

Semalam, Kementerian Kesihatan dalam reaksi berhubung video itu menjelaskan sistem pengagihan organ daripada penderma yang meninggal dunia dibuat berdasarkan kriteria klinikal tanpa mengambil kira bangsa, agama, latar belakang dan status dalam masyarakat penerima organ terbabit.

Lam Thye berkata, bagi penderma organ dalam kalangan orang Islam, mereka sepatutnya merujuk kepada fatwa yang telah pun dikeluarkan seawal tahun 1970 oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pendermaan organ di kalangan masyarakat Islam.

Katanya, pada masa yang sama, ramai pakar dalam bidang agama termasuk pihak mufti yang telah menjelaskan bahawa orang Islam boleh menerima organ dan darah kepada orang bukan Islam dan begitu juga sebaliknya.

“Sepatutnya kita berusaha bersama-sama untuk menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri bagai penderma organ dan darah kerana jumlahnya yang masih rendah, manakala jumlah pesakit yang memerlukan organ semakin meningkat.

“Sejak 1997 sehingga September tahun lalu, hanya 1.2 peratus atau 362,450 daripada seluruh rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ.

Ini amat membimbangkan kerana untuk pesakit buah pinggang saja, kira-kira 20,000 individu sedang menunggu peluang untuk menjalani pemindahan organ itu pada masa ini.

“Dilaporkan jumlah penderma organ secara tahunan juga telah menurun kepada 40,000 setakat November tahun lalu berbanding 50,000 dalam tempoh sama tahun 2015, akibat kebimbangan orang ramai mengenai penjualan organ yang diviralkan dalam laman sosial,” katanya.

 

Berita Harian

Comments