Home Kolumnis Harumkan Nama Negara Tanpa Perlu Menanggalkan Seluar

Harumkan Nama Negara Tanpa Perlu Menanggalkan Seluar

SHARE

Tanpa perlu menanggalkan seluar atau membogelkan diri, seorang gadis berketurunan Somalia dari Amerika Syarikat berjaya menjadi seorang peragawati antarabangsa papan atas. Tanpa perlu menanggalkan hijab, gadis Muslim ini berjaya menjadi peragawati unik dan menjadi pilihan jenama-jenama terkemuka dan majalah terkenal seperti Nike Inc, Allure dan Vogue Arabia serta diwakili sebuah agensi peragaan terkenal dunia, IMG Models. Tanpa perlu menayangkan tubuh, gadis ini mencipta dan memecahkan rekod pertandingan ratu cantik di Amerika sebagai gadis pertama yang berhijab.

Halima Aden, satu nama yang semakin melonjak naik di persada peragaan Amerika Syarikat. Gadis berusia 19 tahun ini pertama kali muncul di kaca televisyen sewaktu menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota pada tahun 2016. Penampilannya yang berhijab dan menutup aurat dalam pertandingan tersebut membuatkan Halima menjadi tajuk berita utama di Amerika Syarikat sebagai gadis pertama yang memakai hijab dan berburkini dalam sejarah pertandingan ratu cantik.

Walaupun hanya berjaya memasuki separuh akhir pertandingan ratu cantik Miss Minnesota, keunikan yang ditampilkan oleh Halima membuatkannya terkenal bukan sahaja di peringkat kebangsaan malahan di peringkat antarabangsa dan mencuri perhatian para artis, jenama-jenama besar, agensi-agensi permodelan dan majalah-majalah terkemuka. Halima kini merupakan salah seorang peragawati di bawah agensi permodelan antarabangsa, iaitu IMG Models yang juga menaungi model terkemuka Gigi dan Bella Hadid.

Setakat ini, Halima pernah menjadi model untuk Yeezy Season 5 milik Kanye West sewaktu New York Fashion Week, menjadi penghias muka depan majalah Allure, CR Fashion Book dan Vogue Arabia. Terbaru, Halima dilantik sebagai model jemputan dalam video promosi produk kecantikan, Fenty Beauty milik penyanyi Rihanna dan juga bagi kempen jenama pakaian, American Eagle.

Halima percaya bahawa; “Walaupun anda tidak melihat golongan wanita seperti anda (berhijab) di media umum terutamanya dalam pertandingan ratu cantik, tidak bermakna bahawa anda tidak cantik atau anda perlu mengubah penampilan anda untuk menjadi cantik. Itu tidak benar.”

Gadis cantik berketinggian 5 kaki 5 inci ini berjaya menjadi supermodel dan melangkah masuk ke dalam dunia penuh populariti di peringkat antarabangsa tanpa membuang jati diri sebagai seorang Muslim.

Dia memilih untuk menjadi dirinya sendiri dengan tetap berhijab dan memakai pakaian yang sopan.

Namun, lain pula yang berlaku di Malaysia, negara yang mendaulatkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Baru-baru ini, netizen tempatan berang dan terkejut dengan tindakan salah seorang peserta Asia’s Next Top Model yang telah membogelkan tubuhnya tanpa dilapik walau seurat benang demi sesi fotografi dan portfolio kerja semata-mata.

Gadis Muslim itu kemudiannya tanpa rasa segan silu pula mempertikaikan masyarakat yang menegurnya dengan mengatakan bahawa semua pihak sepatutnya tidak hanya mencari kesilapan seseorang, sebaliknya turut sama mencari ciri-ciri baik seseorang individu. Tambahnya lagi, mencari kesilapan orang lain tidak akan menjadikan seseorang itu lebih bahagia.

Menurut perserta program yang berasal daripada pecahan American Next Top Models itu, tujuan utamanya menyertai pertandingan versi Asia tersebut adalah untuk memecahkan standard kecantikan dalam industri permodelan.

Apabila dibuat perbandingan, Halima dan gadis ini mempunyai moto yang sama iaitu ingin menunjukkan kepada dunia bahawa semua orang adalah cantik, namun pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua mereka amat berbeza. Seorang tetap mempertahankan cara pemakaiannya manakala seorang lagi mengalah kepada tradisi bidang permodelan.

Ironi sekali apabila seseorang yang dibesarkan bukan dalam masyarakat dan negara Islam utuh mempertahankan pemakaian Islam, manakala seorang lagi yang jelas dibesarkan dalam negara dan persekitaran Islam mudah sahaja berpaling dari pemakaian Islam.

Hakikatnya, Halima telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa menutup aurat itu merupakan pilihannya sendiri dan dia tidak dipaksa oleh sesiapa pun untuk berhijab. Halima juga berjaya menarik ramai orang bukan Islam untuk mengenali keindahan dan konsep kebebasan Islam yang sebenar. Jauh daripada apa yang sering dimomokkan oleh media-media Barat.

Tuntasnya, untuk berjaya dalam setiap bidang, seseorang tidak perlu menanggalkan pakaiannya dan mengetepikan agamanya. Contoh terbaik sudah tersaji di depan mata. Lihat sahaja Halima Aden yang semakin menempah nama sebagai seorang supermodel dalam bidang peragaan.

Sebelum ini dalam bidang sukan antarabangsa, seorang gadis Muslim kelahiran Bahrain, Ruqaya al Ghasara menjadi pemenang pingat emas bagi acara lari 200 meter di Sukan Asia. Walaupun berhijab dan memakai pemakaian menutup tubuh dalam pertandingan larian, dia tetap mengungguli masa larian mengalahkan peserta yang lain.

Comments