Home Tempatan HartaGuam: Pinda akta tangani isu anak sah tidak taraf, terima fatwa

HartaGuam: Pinda akta tangani isu anak sah tidak taraf, terima fatwa

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia, Salkukhairi Abd Sukor berkata, pindaan itu perlu bagi membolehkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan diambil kira apabila mempertimbangkan dalam permohonan anak tidak sah taraf.

SHARE

PETALING JAYA: Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) gesa Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 dipinda susulan keputusan Mahkamah Rayuan dalam soal pendaftaran anak tidak sah taraf bagi menjamin kepentingan umat Islam.

Presidennya, Salkukhairi Abd Sukor berkata, pindaan itu perlu bagi membolehkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan turut diambil kira apabila mempertimbangkan dalam permohonan anak tidak sah taraf.

Kata beliau, penghakiman Mahkamah Rayuan dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang antara lain membenarkan pendaftaran anak tidak sah taraf dibinkan kepada nama bapa biologi jika kedua ibu bapa bersetuju dan memenuhi syarat permohonan dinyatakan dalam akta tersebut.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan ada mengambil pendirian yang keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan melarang seseorang anak tidak sah taraf itu dibinkan kepada bapa biologinya tidak mengikat dalam kes tersebut dan justeru, tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang merekodkan bin anak tidak sah taraf itu kepada Abdullah dan bukannya kepada nama bapa kanak-kanak tersebut adalah bertentangan dengan undang-undang.

“Persatuan Guaman Hartanah Malaysia melihat keputusan tersebut mungkin disebabkan oleh tiadanya peruntukan khusus dalam akta tersebut yang menyatakan ia tidak terpakai kepada orang Islam sehingga menyebabkan para hakim membuat keputusan sedemikian,” kata beliau.

Bagaimanapun kata beliau, melihatkan impak besar yang bakal dihadapi oleh masyarakat Islam sekiranya keputusan tersebut diguna pakai, terutamanya dalam perkara yang melibatkan soal nasab, wali dan pewarisan harta kepada anak tidak sah taraf tersebut, maka kerajaan perlu meminda segera akta tersebut dengan menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya peruntukan Seksyen 13 akta tersebut dan mana-mana peruntukan lain yang berkaitan tidak terpakai kepada orang Islam.

“Jika ini tidak dilakukan dengan segera, dibimbangi ia boleh mendedahkan masyarakat Islam kepada kekeliruan dan pelbagai implikasi negatif terutamanya apabila melibatkan soal nasab dan pewarisan harta anak-anak tak sah taraf ini di kemudian hari,” kata beliau.

Kata beliau, pihaknya yakin dengan pindaan undang-undang tersebut ia bukan sahaja mampu melindungi kepentingan masyarakat Islam tetapi juga dapat memberikan bidang kuasa yang jelas kepada JPN untuk melaksanakan tanggungjawab mereka untuk tidak mendaftarkan anak tidak sah taraf kepada nama bapa kandung anak tersebut tanpa boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak lagi.

Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Bagaimanapun JPN berpendirian akan terus mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli menambah amalan sedia ada akan diteruskan selaras dengan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Yazid berkata JPN sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada 25 Julai lepas.

Free Malaysia Today

Comments