Home Tempatan Harapan di sebalik Himpunan 355

Harapan di sebalik Himpunan 355

SHARE
Puluhan ribu turut serta dalam Himpunan 355 di ibu negara. - Sumber foto Facebook Himpunan 355.

PERHIMPUNAN RUU 355 Sabtu lepas, dilihat unik dan luar biasa bukan kerana jumlah peserta yang hadir, tetapi kerana ia menggabungkan dua ‘musuh tradisi’ politik antara Pas dan Umno. Jika sebelum ini kita lihat Pas dan Umno umpama kucing dengan anjing yang sentiasa bertelagah dalam pelbagai isu, namun kali ini nampaknya kedua-dua pihak berjaya mengetepikan perbezaan tersebut dan sama-sama menjayakan perhimpunan ini.

Antara pemimpin utama Pas yang memberi ucapan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh; Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani; seorang penceramah selebriti TV dan seorang pemimpin Pas sedang meningkat naik. Turut memberi ucapan mewakili pihak-pihak lain termasuk pimpinan Umno seperti Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Juga satu keunikan apabila Bala Subramaniam Nachiapan (Ketua DHPP) turut dijemput memberi ucapan dalam program memperkasakan mahkamah syariah anjuran Pas ini. Ia mungkin sebagai satu indikasi bahawa Pas bukan hanya untuk orang Islam bahkan juga mesra non-Muslim.

Dalam perhimpunan ini beberapa tokoh agamawan tersohor tanah air turut memberi ucapan seperti Sahibu Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Idrus dan beberapa tokoh peguam.

Secara umumnya, usaha mengadakan perhimpunan seumpama ini haruslah dipuji. Ini kerana untuk membawa dua musuh yang bertelagah bukan suatu yang mudah. Tambahan pula ia bertujuan untuk memperkasakan undang-undang mahkamah syariah. Namun, begitu, kita masih belum pasti bagaimana akan berakhirnya episod RUU 355 yang dibawa usulnya pada 24 November 2016 oleh Datuk Seri Hadi di Dewan Rakyat itu. Usul ini adalah usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Kita juga tidak pasti sama ada usul ini nanti akan dibentangkan dan dibahaskan oleh Parlimen atau sebaliknya memandangkan terdapat suara-suara dari parti komponen BN sendiri yang secara keras menentang RUU 355 ini dari dibentangkan. MCA sebagai contoh berpendapat rang undang-undang bagi meminda RUU 355 sepatutnya dibentangkan kerajaan bukan secara persendirian oleh Datuk Seri Hadi.

Kita juga tidak pasti sejauh mana ‘keberanian’ kerajaan untuk mengambil risiko kehilangan sokongan rakan-rakannya dalam BN memandangkan PRU14 yang dilihat amat kritikal oleh pemerhati politik, sudah tidak berapa lama lagi. Menjelang Jun 2018 berakhirnya mandat pemerintahan BN dan selepas itu PRU14 akan diadakan.

Sejujurnya kita tidak tahu sejauh mana keikhlasan pihak-pihak yang terbabit dalam membangkitkan isu RUU 355 ini. Ada suara mengatakan, ia seakan satu sandiwara politik oleh pihak-pihak berkepentingan memandangkan PRU14 sudah semakin hampir.

Semua pihak dilihat cuba mengambil peluang ini untuk menonjolkan diri agar dilihat sebagai juara dalam memperjuangkan Islam. Berapa kos yang dikeluarkan bukanlah isu di sini kerana jika mereka datang dengan nawaitu yang ikhlas kepada ALLAH, pastinya ALLAH tidak akan mensia-siakan pengorbanan mereka.

Tapi segalanya bergantung kepada niat hati. Apakah nawaitu para pemimpin dan pengikutnya benar-benar kerana ingin memartabatkan Islam dan mahkamah syariah atau sekadar satu propaganda politik. Namun begitu, itu bukan urusan kita untuk membuat penghakiman kerana hanya mereka dan ALLAH Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati setiap orang daripada mereka.

Apa pun tanggapan yang lahir daripada pihak-pihak yang kurang bersetuju dengan kaedah RUU 355 ini ditangani, umat Islam harus berbangga. Ini kerana jika kesatuan seumpama ini boleh diwujudkan tanpa mengira musim dan semua pihak boleh melupakan buat seketika perbezaan fahaman politik mereka dan duduk semeja berbincang tentang isu yang berkaitan dengan maslahat umah, maka kesatuan umat mempunyai peluang yang cerah untuk direalisasikan.

Biarlah perhimpunan ini menjadi titik tolak yang membawa kepada kesatuan ummah itu. Ummah yang mampu bertolak ansur dalam perkara-perkara yang mempunyai perbezaan dan bekerjasama dalam perkara yang boleh dipersetujui bersama.

Tahniah kepada semua yang terlibat dalam perhimpunan ini termasuk Pas sebagai penganjur, pihak pemerintah, NGO, para agamawan dan para penyokong RUU 355. Moga RUU 355 menjadi realiti dan bukan sekadar mimpi siang hari. Itulah harapan kami di sebalik himpunan ini.

Sinar Online

Comments