Home Tempatan Hapuskan Undang-Undang Pikat Isteri Orang – SIS

Hapuskan Undang-Undang Pikat Isteri Orang – SIS

SHARE

Kuala Lumpur: Sisters in Islam (SIS) melalui sebuah laporan bertajuk CEDAW & Malaysia 2012 telah menggesa agar Kerajaan Malaysia menghapuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) yang memperuntukkan perbuatan ‘memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah’. CEDAW ialah Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.

Menurut laporan-laporan yang diterbitkan oleh Women’s Aid Organisation (WAO), SIS dan beberapa organisasi bukan Kerajaan (NGO) lain, undang-undang lapuk tersebut yang juga digelar Undang-Undang Memikat Isteri Orang “adalah bersifat mendiskriminasi kerana tidak meletakkan wanita setaraf dengan lelaki andainya mereka menjadi pihak ketiga. Seksyen ini dilihat gagal berjalan selari dengan situasi kontemporari di Malaysia yang mana, suami atau isteri, sama sekali tidak mempunyai hak milik ke atas satu sama lain”.

Dalam laporan yang sama, SIS memetik satu kes mahkamah berprofil tinggi yang membabitkan Darren Choy Khin Ming yang dibawa ke mahkamah oleh Ryan Chong menggunakan Seksyen 498. Ryan Chong telah menuduh Darren Choy menggoda isteri beliau iaitu Daphne Iking secara sedar dan sengaja walaupun telah mengetahui bahawa Daphne merupakan isteri kepada Ryan Chong.

SIS mendakwa seksyen ini melayan golongan wanita seperti harta benda sedangkan persepsi ini telah ketinggalan zaman, bersifat diskriminasi dan sudah tidak relevan lagi bagi masyarakat Malaysia kontemporari. SIS turut mendakwa Kerajaan Singapura telahpun mengemaskini Kanun Keseksaan bagi “menonjolkan norma kemasyarakatan dan nilai-nilai murni” dengan membatalkan Seksyen 498 kerana dikatakan telah melanggar Artikel 2(g), Artikel 5(a) dan Artikel 16(c) CEDAW berkaitan hak-hak wanita.

Baru-baru ini, masyarakat di Malaysia telah dikejutkan dengan berita mengenai penglibatan seorang pegawai kanan sebuah agensi membanteras rasuah Kerajaan yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Link rujukan:
1. http://wao.org.my/file/CEDAW% 20&%20Malaysia%20versi% 20Bahasa%20Malaysia.pdf mukasurat 66
2. http://wao.org.my/file/file/ Malaysian%20NGO%20CEDAW% 20Alternative%20Report%202012% 206MB.pdf mukasurat 62

Comments