Home Tempatan Haniff Khatri : Mana-mana undang-undang yang tidak bertentangan Islam adalah berperlembagaan

Haniff Khatri : Mana-mana undang-undang yang tidak bertentangan Islam adalah berperlembagaan

SHARE

KUALA LUMPUR: Peguam, Haniff Khatri berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Tun Ahmad Fairuz mengenai kedudukan Syariah dalam Perlembagaan Negara dalam kuliah khas beliau yang bertajuk “Islam sebagai Undang-undang Tanah”. Kuliah khas tersebut telah dianjurkan oleh Malaysian Lawyer Circle , Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Peguam Prihatin untuk Keadilan (CLJ), iPeguam dan Pusat Penyelidikan Hak Asasi Manusia Dan Advokasi (CENTHRA) pada 25 Mac 2017 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
 
Menurut Haniff Khatri, “Sehubungan dengan pengenalan perundangan Islam, apabila ia dimasukkan ke dalam undang-undang sedia ada, ia tidak boleh dikatakan sebagai menduduki tempat kedua tertinggi. Sebenarnya, kedudukannya adalah sama tinggi kerana pengiktirafan itu datang dari Perlembagaan yang sama.”
 
Haniff Khatri menyatakan lagi bahawa Akta Undang-Undang Sivil 1956 seksyen 3 & 5 meletakkan tarikh akhir bagi kemasukan prinsip English Common Law sehingga tahun 1956. Menurut beliau, ini adalah untuk membolehkan berlaku evolusi kepada Undang-undang Lazim Malaysia berdasarkan keperluan masyarakat tempatan.
 
Oleh itu, dengan pengiktirafan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di bawah Perkara 3 dalam Perlembagaan, menunjukkan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz sebagai amat benar. “Perundangan Islam haruslah melalui proses perlembagaan untuk digabungkan sebagai Common Law Malaysia,” tambah Haniff.
 
“Pandangan ini juga pernah dicadangkan lebih awal oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Omar pada tahun 1990, dimana beliau menyatakan bahawa Malaysia seharusnya mempunyai undang-undang sendiri yang boleh digunapakai mengikut keperluan masyarakat,” tegasnya. 
 
Mengulas mengenai hujah Gopal Sri Ram yang merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan, Che Omar bin Che Soh pada tahun 1988 untuk menyangkal kenyataan Tun Ahmad Fairuz, Haniff Khatri berkata Tun Saleh Abbas sebenarnya tidak pernah mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan sekular. Kes yang didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Senjata Api itu hanya menyatakan bahawa Akta-Akta Parlimen adalah sekular, itu sahaja.
 
“Undang-undang sekular yang tidak bercanggah dengan mana-mana perundangan Islam tertentu adalah berperlembagaan “, kata Haniff. Terdahulu, Lukman Sheriff Alias, seorang peguam dari Malaysia Lawyers Circle  mengutuk portal akhbar Free Malaysia Today dan Malay Mail Online  atas laporan mereka  yang sememangnya bercanggah dan berniat jahat ke atas kenyataan yang dibuat oleh Tun Ahmad Fairuz dalam kuliah yang sama. 
 
Lukman Sheriff juga mengulas bahawa FMT dan Malay Mail langsung tidak mahu  menerima hakikat dan menyiarkannya sepertimana yang sepatutnya dalam kes ini. Saya memberitahu bahawa mereka hanya akan mewujudkan pertembungan yang tidak berfaedah. Agenda mereka adalah terus menerus menimbulkan konflik melalui laporan berita yang berat sebelah.

Comments