Home Tempatan Hampir 30% penduduk di Kedah merokok, Mapim mahu tindakan serius

Hampir 30% penduduk di Kedah merokok, Mapim mahu tindakan serius

SHARE

PETALING JAYA: Sebuah badan pertubuhan Islam menyatakan rasa terkejut dengan keputusan kajian kesihatan kebangsaan baru-baru ini yang mendapati hampir satu pertiga daripada penduduk Kedah berusia 15 tahun ke atas adalah perokok.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata ia menunjukkan wujud krisis kesihatan yang serius di kalangan orang Melayu yang menjadi penduduk majoriti negeri itu, di samping kerajaan bakal menanggung beban kos tinggi bagi merawat pelbagai penyakit daripada tabiat merokok.

“Tabiat merokok merupakan punca yang utama kepada kanser dan kardiovaskular. Kos rawatan yang terpaksa ditanggung kini adalah sangat besar untuk 2 penyakit utama tersebut. Manakala merokok di kalangan anak muda berpotensi besar terdedah kepada penyalahgunaan dadah,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataannya semalam.

Beliau berkata ia juga menunjukkan kegagalan kempen anti-merokok pelbagai peringkat di pihak kerajaan, termasuk jabatan kesihatan menerusi penubuhan Klinik Berhenti Merokok dan pihak berkuasa agama yang gagal melaksanakan fatwa mengharamkan rokok yang dikeluarkan lebih 20 tahun lalu.

“Sayangnya ia hanya tinggal fatwa di atas kertas semata-mata.

“Sudah sampai masanya pihak Majlis Fatwa Negeri Kedah segera mengambil langkah untuk mengangkat fatwa tersebut supaya digazetkan di Dewan Undangan Negeri.

“Isu ini melibatkan majoriti umat Islam dan mudaratnya terlalu jelas. Tidak munasabah fatwa yang boleh menjadi salah satu kekuatan dalam mengekang tabiat merokok di kalangan umat Islam masih ditangguh penguatkuasaannya,” kata Azmi.

Sabtu lalu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati sejumlah 26.%% daripada penduduk Kedah berusia 15 tahun ke atas adalah perokok, manakala hanya 17.2% sahaja berjaya berhenti dalam tempoh 6 bulan walaupun terdapat kemudahan mengikis tabiat itu di semua klinik kerajaan.

Dr Norhizan berkata 58 buah klinik kesihatan di Kedah menyediakan Klinik Berhenti Merokok yang menggunakan ubatan dan kaunseling.

Beliau berharap umat Islam mengambil kesempatan bulan Ramadan untuk berusaha berhenti merokok, sambil berkata tinjauan pihaknya mendapati 95% perokok menyatakan lebih mudah berhenti merokok ketika bulan puasa.

Azmi bagaimanapun berkata klinik anti-rokok dan kempen di bulan puasa jelas gagal membendung gejala itu.

“Kempen pihak Jabatan Kesihatan sempena bulan Ramadan ini sudah dilakukan saban tahun, namun ia masih tidak berkesan kerana tabiat merokok sudah menjadi norma masyarakat sebaik sahaja berbuka puasa.”

Beliau berkata gerakan berkesan yang melibatkan pemimpin politik, NGO dan pemimpin masyarakat mesti dikerah di samping pelanggaran undang-undang jualan rokok dan merokok di premis awam ditangani dengan serius.

“Pihak kami bersama rangkaian NGO di bawah gerak kerja dakwah akan mengadakan perbincangan khas untuk merancang strategi menggembleng masyarakat akar umbi supaya tabiat merokok terutama di kalangan remaja dan generasi muda dibanteras,” kata Azmi.

Free Malaysia Today

Comments