Home Tempatan Halau Dr Zakir Naik tindakan mengarut: Jamil Khir

Halau Dr Zakir Naik tindakan mengarut: Jamil Khir

SHARE

JASIN, 5 Jamadilakhir 1438H, Sabtu – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan tindakan sekumpulan aktivis liberal membantah kegiatan dakwah Dr Zakir Naik di negara ini sebagai mengarut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 19 individu, termasuk Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dan peguam, Siti Kasim yang memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia kerana mendakwa melindungi pendakwah dari India itu.

Mereka mendakwa, Zakir boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

“Buat apa buat kerja mengarut. Kita lagi banyak kerja nak buat,” katanya ringkas selepas menghadiri perasmian Kompleks Kota Al-Hasanah Sungai Rambai, oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen bermula Isnin ini, Jamil Khir hanya menunjukkan isyarat bagus.

Sidang Dewan Rakyat selama 20 hari hingga 6 April ini akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong. Beberapa RUU akan dibentang dan dibahaskan pada sidang kali ini, termasuk RUU Akta 355.

Cadangan meminda RUU 355 kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mei tahun lalu dan usul itu sekali lagi dibaca pada 24 November.

Usul pindaan itu dijangka dihuraikan lebih lanjut pada sesi persidangan kali ini.

Comments