Home Tempatan Halang Perkasa Syariah, Bukan Bermaksud Masuk Campur Hal Islam – Sardar Jagir...

Halang Perkasa Syariah, Bukan Bermaksud Masuk Campur Hal Islam – Sardar Jagir Singh

SHARE

KUALA LUMPUR: Menara.my cuba mendapatkan jawapan dan perincian daripada Saudara Sardar Jagir Singh bagi menjawab semua persoalan berhubung dakwaan beliau mengenai kesan perlaksanaan RUU 355 di satu forum yang bertemakan ‘Implikasi RUU 355 Hadi’ anjuran Biro Keharmonian Agama MCA di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Sardar Jagir Singh yang merupakan Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) secara jelas membuat satu dakwaan bahawa, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pernah mengutip “jizyah” sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu antara tahun 1999 – 2004.

Beliau yang ketika dihubungi bagaimanapun menafikan ada menyebut tentang perkara tersebut dan menjelaskan bahawa apa yang cuba dikatakan di forum itu ialah terdapatnya cadangan Hadi untuk “mengenakan” jizyah di Terengganu,

“Saya tidak kata “telah kutip” jizyah, jadi laporan yang katakan saya telah mengatakan kutip itu adalah salah,” katanya.

Menurutnya, beliau tahu cadangan itu tidak dilaksanakan dan ada juga peserta yang hadir di forum tempoh hari merupakan bekas Peguam Kanan Persekutuan yang memberitahu jizyah tidak dilaksanakan.

“Saya harap laporan atas salah faham mengenai perkara ini diperbetulkan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism Malaysia (MCCBCHST) berkata, satu cara yang boleh dibuat untuk mengelakkan non-muslim daripada dihukum di bawah Mahkamah Syariah ialah untuk mengadakan syarat ketat dalam perundangan negeri yang memasukkan jaminan itu dan kesalahan yang terdapat dalam Penal Code tidak dimasukkan dalam perundangan Negeri.

Beliau yang ketika dihubungi bagaimanapun enggan menjelaskan perkara berkenaan dengan lebih lanjut selain tidak bersedia untuk menjawab dakwaan itu. Beliau juga mengakui bahawa perkara ini terlalu susah untuk dijawab walaupun beliau sendiri yang membuat dakwaan tanpa membawa apa-apa bukti untuk menyokong dakwaan beliau itu.

Sardar berkata, beliau bersetuju bahawa “niat itu baik, tetapi anda tidak akan berada di sana untuk melaksanakannya”.

“Jika undang-undang membenarkan, ianya akan digunakan,” katanya.

Menyangkal dakwaan bahawa Pindaan Akta 355 hanyalah untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dan tidak ada kena mengena dengan hudud, Sardar berkata, jika cadangan pindaan itu menjadi undang-undang, maka tiga hukuman hudud dalam buku perundangan Kelantan akan berkuatkuasa.

“Anda hanya boleh mengatakan bahawa ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan hudud jika tiada kesalahan baru yang dibawa masuk, tetapi seperti yang dikatakan, tiga kesalahan hudud itu dibawa masuk”.

“Mereka telah menaikkan had itu untuk mewujudkan kesalahan baru, dan kesalahan itu adalah kesalahan hudud, jadi bagaimana mereka boleh mengatakan ia bukan satu rang undang-undang hudud,” katanya.

Ditanya adakah pindaan RUU 355 akan memberi kesan kepada bukan Islam, beliau menegaskan, memang akan memberi kesan yang jelas, sebab ada beberapa perkara yang termaktub di dalam Perkara RUU 355 ini akan memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Menyentuh soal pendirian badan keharmonian agama JKMPKA dalam isu RUU 355, beliau menasihatkan semua rakyat di dalam negara ini agar bersatu padu dan berpegang kepada Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

Ketika ditanya, bukankah bangkangan terhadap RUU 355 ini merupakan satu usaha untuk campur tangan urusan orang Islam, beliau menafikan hal ini dan menyifatkan pihaknya tidak pernah masuk campur perkara yang berkaitan agama Islam, ia hanya mengenai Perlembagaan Malaysia sahaja,” katanya.

Comments