Home Tempatan Halang Pekerja Wanita Bertudung Tidak Bercanggah Perlembagaan – Persatuan Hotel Malaysia

Halang Pekerja Wanita Bertudung Tidak Bercanggah Perlembagaan – Persatuan Hotel Malaysia

SHARE

Selangor: Persatuan Hotel Malaysia atau Malaysia Association of Hotels (MAH) tampil menjawab persoalan mengenai kontroversi kenyataan Presidennya Cheah Swee Hee yang sebelum ini sebagai berkata, “Setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.”

Menara.my cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee sendiri berhubung kenyataan yang dikeluarkan mengenai polisi dan SOP hotel antarabangsa yang dikatakannya itu. Walau bagaimanapun, Cheah hanya mewakilkan soalan-soalan ini kepada Eksekutif Pentadbiran MAH, Mas Sira Abd Rashid untuk menjawab persoalan melalui email yang dikirimkan bagi mengulas lanjut isu berkenaan.

Menjawab persoalan wartawan berkenaan polisi tersebut yang dilihat bercanggah dengan Perlembagaan, Wakil Presiden MAH menegaskan bahawa polisi yang menghalang pekerja wanita daripada bertudung tidak bercanggah dengan perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama bagi Persekutuan.

“Sebenarnya tidak wujud polisi seragam sekitar industri yang melarang pekerja wanita berhijab di hotel dan tiada percanggahan dengan Perkara 3(1) Islam sebagai Agama Persekutuan.”

“Untuk pengetahuan, polisi pakaian seragam sebenarnya ditentukan oleh pihak pengurusan masing-masing, sama ada hotel atau industri lain,” tegasnya lagi.

Beliau juga menafikan bahawa amalan menghalang wanita muslimah berhijab daripada bekerja di ‘front office’ adalah bersifat apartheid apabila kelihatan menghalang hak kebebasan beragama sepertimana yang dijamin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab persoalan yang diajukan berkenaan senarai hotel-hotel yang mengamalkan polisi yang melarang wanita berhijab di barisan hadapan (front office) hotel seperti dakwaan Presidennya, Mas Sira Abd Rashid menjelaskan bahawa pihak Persatuan Hotel Malaysia tidak ada senarai hotel yang mengamalkan polisi tersebut.

Comments