Home Tempatan Halang Muslimah Bertudung, Kerajaan Wajar Ubah Polisi Perhotelan – Dr Rafidah Hanim

Halang Muslimah Bertudung, Kerajaan Wajar Ubah Polisi Perhotelan – Dr Rafidah Hanim

SHARE

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat digesa memandang serius isu melarang wanita bertudung di front office hotel-hotel lima bintang antarabangsa, dengan mengubah polisi perhotelan agar tidak mendiskriminasikan pekerja Muslimah, demikian menurut Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Menurutnya lagi, kenyataan bahawa polisi tidak membenarkan pekerja wanita bertudung berkhidmat di bahagian kaunter juga tidak dapat diterima, kerana terdapat laporan netizens yang pernah mengunjungi hotel antarabangsa di luar negara, yang mempunyai pekerja Muslimah bertudung di bahagian kaunter.

Beliau berkata, berdasarkan laporan CEIC Data’s Global Database tentang prestasi perhotelan di Malaysia yang mencatatkan kejatuhan dalam kadar penginapan bilik, iaitu 61.90 peratus pada Desember 2015 berbanding 63.60 peratus pada Desember 2014.

“Purata dari tahun 1998 sehingga 2015 adalah 62.5 peratus dan rekod tertinggi dicatat pada tahun 1990 iaitu sebanyak 72.90 peratus.”

“Jadi, polisi antarabangsa agar hanya pekerja wanita tidak bertudung yang berkhidmat di kaunter, yang dikatakan telah lebih 10 tahun oleh Pengerusi Malaysian Association of Hotels (MAH) Cheah Swee Hee ini, selain bersifat diskriminasi jelas tidak membawa sebarang faedah pun dari segi pulangan ekonomi.”

Dr Rafidah Hanim berkata, barangkali, jika pekerja wanita dipilih berdasarkan kecekapan dan keupayaan mereka dan bukannya hakikat mereka bertudung, kita mungkin melihat data yang berbeza.

Beliau berkata,”Perkara ini juga jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, secara spesifiknya Perkara 8 Perlembagaan jelas menunjukkan tidak boleh berlaku diskriminasi terhadap jantina.”

 

Comments