Home Tempatan Halal atau tidak, darah orang Islam, bukan Islam tiada beza

Halal atau tidak, darah orang Islam, bukan Islam tiada beza

Pusat Darah Negara tidak mengasingkan simpanan beg darah yang didermakan oleh umat Islam dan penderma darah bukan Islam.

SHARE

PETALING JAYA : Sistem derma dan pemindahan darah tidak membezakan penderma dan penerima berdasarkan kepada kaum dan agama, kata Pusat Darah Negara.

Sehubungan itu, pusat darah tidak mengasingkan simpanan beg darah yang diterima daripada penderma beragama Islam, dan bukan Islam.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, Pusat Darah Negara berkata Islam mengharuskan umatnya menderma darah dan penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma tidak digalakkan.

“Isu pengasingan beg darah orang bukan Islam daripada bukan Islam sudah dibincangkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 13 hingga 14 April 1982 dan 10 Oktober 1983,” katanya.

Kenyataan itu menjawab soalan FMT, sama ada beg darah yang didermakan umat Islam dan bukan Islam diasingkan, atau tidak.

 Baru-baru ini, pengarah dan penyanyi rap kontroversi Namewee mempersoalkan status darah atau organ yang bakal didermakannya nanti kerana beliau bukan Islam dan memakan makanan tidak halal seperti daging babi.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam satu kenyataan berkata hukumnya ialah “dibolehkan” kerana darah yang didermakan orang bukan Islam yang makan babi tetap darah, dan bukan lagi zat babi secara total.

Zulkifli berkata tidak menjadi kesalahan untuk menderma darah walaupun penderma itu bukan Islam dan makan daging babi.

Pusat darah berkata sistem pendermaan dan pemindahan darah sama seperti derma dan pengagihan organ di Malaysia.

“Sistem itu tidak berdasarkan kepada bangsa, agama, latar belakang, status masyarakat dan sebagainya kerana keutamaannya ialah keperluan pesakit yang ditentukan menerusi kriteria klinikal,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments