Home Pendapat Hak Wanita dan Polemik Aurat

Hak Wanita dan Polemik Aurat

SHARE

Acap kali kita mendengar suara-suara pejuang wanita yang mengutuk pihak-pihak yang menindas dan melakukan diskriminasi terhadap wanita.

Pada masa yang sama, wanita juga sering terpalit dengan isu-isu kontroversi seperti artis Melayu buka tudung setelah bertudung litup sekian lama, wanita Cina memakai skirt pendek tidak dibenarkan masuk ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dua wanita yang memakai pakaian tidak sopan dihalang daripada berurusan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, dan juga wartawan  wanita The Star telah dihalang dari memasuki bangunan Kementerian Pertahanan kerana memakai skirt yang terlalu pendek. Isu ini kian menjadi polemik apabila etika berpakaian sopan, khasnya di pejabat-pejabat kerajaan ini dianggap melanggar kebebasan dan hak asasi wanita itu sendiri.

Terbaru, tindakan syarikat penerbangan Malindo Air yang menyuruh calon wanita membuka baju dan mendedahkan dada (tanpa menanggalkan choli) semasa prosedur pemeriksaan dalam sesi temu duga baru-baru ini telah dikecam dan dikritik hebat. Rentetan dari isu ini, ramai yang berpandangan tindakan pihak Malindo Air ini satu bentuk diskriminasi dan tidak menghormati hak wanita. Malindo dikecam hebat ramai daripada segenap lapisan masyarakat, liberal dan konservatif.

Namun, sayang sekali apabila sesetengah daripada kaum wanita masih kabur untuk membezakan antara bentuk penindasan yang sebenar dengan pendekatan yang cuma mahu memelihara kehormatan mereka.

Menurut Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr. Norsaleha Mohd. Salleh, pihak Malindo Air tidak boleh melangkaui hak-hak yang ada pada setiap manusia walaupun mereka mempunyai autoriti sebagai majikan. Seharusnya  mereka perlu menghormati hak-hak dan nilai-nilai Islam yang diamalkan muslimin.

Sementara itu, Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Hjh Che Asmah Ibrahim dalam kenyataan di blog mereka kesal dengan tindakan pihak Malindo Air yang menunjukkan maruah wanita mudah dijadikan bahan dagangan oleh pihak syarikat untuk mengaut keuntungan semata.

Joint Action Group for Gender Equality (JAG) pula dalam kenyataannya berpandangan bahawa secara umumnya syarikat penerbangan telah lama bebas melanggar hak asasi wanita dengan mengeksploitasi tubuh badan pramugari wanita yang mengenakan pakaian yang ketat dan tidak sopan sedangkan pekerja-pekerja lelaki boleh berpakaian seperti biasa.

Melihat kepada keadaan ini, ramai pihak khususnya wanita mengecam keras tindakan pihak Malindo Air yang tidak menghormati dan sensitif terhadap hak wanita itu sendiri. Akan tetapi, hairan sekali apabila etika yang menuntut kaum wanita berpakaian sopan ini ditentang oleh sesetengah pihak dan dituduh menceroboh hak asasi wanita untuk bebas berpakaian, hanya kerana sentimen semasa semata-mata.

Ibarat lalang, mereka seolah-olah tiada pendirian yang tetap. Adakalanya pendirian mereka dalam soal ini berpandukan jalur politik dan terikut-ikut dengan sentimen tertentu sehingga etika yang memelihara kehormatan wanita ini dipandang negative dan polemik eksplotasi wanita tidak berkesudahan yang ruginya kaum wanita itu sendiri.

Seharusnya, peraturan yang mendidik masyarakat untuk berpakaian sopan tidak menjadi polemik. Hal ini kerana pakaian yang sopan mencerminkan identiti dan keperibadian yang lebih bermoral selaras dengan tuntutan rukun negara yang kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Memetik kata-kata pengasas laman fesyen terbaru The Modist, Ghizlan Guenez berpandangan bahawa zaman berpakaian terdedah sudah tamat. Menurutnya, fesyen lengan panjang, menutup leher dan berskirt labuh lebih menjadi pilihan wanita di barat.

Mereka juga sedar pakaian yang sopan lebih membuatkan mereka berasa selamat, selesa dan dilindungi. Bukankah nilai ini yang sepatutnya diangkat oleh pejuang-pejuang wanita feminis di luar sana?

Mungkinkah juga kita yang di sebelah Timur ini dulu yang sepatutnya menjadi pemudah-cara kepada fesyen sopan dan bersyariah?

Comments