Home Tempatan Hak asasi manusia bukan alasan sekat RUU 355, kata penceramah

Hak asasi manusia bukan alasan sekat RUU 355, kata penceramah

SHARE

KUALA LUMPUR: Hujah “hak asasi manusia” yang sering digunakan “golongan liberal” tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, kata seorang penceramah himpunan itu.

“Kebebasan apa? Adakah kita ingin biarkan jika negara penuh dengan maksiat?” soal Pengerusi Sekretariat Ummat Aminuddin Yahya.

Beliau juga secara sinis membandingkan ribuan orang yang membanjiri Padang Merbok hari ini dengan “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas yang disertai kurang daripada 200 peserta di Petaling Jaya, petang tadi.

Beliau berkata, kehadiran itu adalah mesej jelas yang ramai menyokong RUU 355.

“Hari ini ada ‘Melayu liberal’ dan orang bukan Melayu berkumpul di Petaling Jaya. Berapa orang? Lebih kurang 100 orang sahaja.

“Berapa orang pula di sini?” soalnya disambut sorakan hadirin di Padang Merbok.

Terdahulu, pengacara majlis mendakwa 300,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355.

Namun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.

Peserta juga dilaporkan tidak berganjak walaupun hujan lebat kira-kira 7.28 malam tadi.

“Ini adalah mesej kepada mereka serta semua ahli Parlimen, ada ratusan ribu pengundi di luar sana seperti anda (yang menyokong RUU 355),” kata timbalan presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) itu.

Di bawah undang-undang syariah, umat Islam di negara ini antara lain dilarang meminum arak, berjudi, berzina dan murtad.

Menerusi RUU 355, hukuman dicadangkan ialah “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Free Malaysia Today

Comments