Home Tempatan Guru komited sebar ilmu kaligrafi kepada pelajar generasi muda

Guru komited sebar ilmu kaligrafi kepada pelajar generasi muda

SHARE

Meskipun Rashidy Omar adalah seorang guru bahasa Arab, beliau juga tekun dengan usahanya mengembangkan ilmu kaligrafi Islam dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar Sekolah Menengah Arab As-Saiyidah Khadijah, Jasin (Melaka) .

Kegigihan beliau ini bukan tiada cabarannya kerana terpaksa berdepan dengan ketiadaan tempat pembelajaran khusus, kekurangan peralatan serta bahan di samping kurangnya minat generasi masa kini terhadap seni warisan itu.

Kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ‘seni khat’ dipercayai dibawa pendakwah serta pedagang Islam dari Timur Tengah ke negara ini.

Namun bagi Rashidy yang mula mengajar di sekolah itu pada 2006, segala cabaran itu perlu ditempuhinya demi mendukung amanah memastikan seni kaligrafi Islam kekal bercambah dalam kalangan generasi muda khususnya.

Beliau sendiri mengambil inisiatif mengeluarkan belanja sendiri untuk mempelajari bidang seni ini di samping banyak membaca buku berkaitan untuk menambah ilmu pengetahuan mengenainya.

Di Malaysia, kaligrafi Islam berkembang seiring dengan perkembangan tulisan jawi yang menjadi medium penulisan utama suatu ketika dahulu.

Hakikat tulisan jawi semakin terpinggir dan dipinggirkan, seni kaligrafi Islam turut berdepan dengan kemungkinan pupus.

Bermula dengan kelab seni kaligrafi

Dalam usaha menyemai minat seni itu dalam kalangan pelajarnya, Sekolah Menengah Arab As-Saiyidah Khadijah menubuhkan kelab seni kaligrafi Islam sekitar 30 tahun lepas dan Rashidy adalah satu-satunya tenaga pengajarnya.

“Kita tidak ambil ramai pelajar (mengikuti pembelajaran kaligrafi Islam) dalam satu-satu masa kerana seni ini perlukan minat mendalam dan ketekunan tinggi untuk dikuasai jadi kita ambil 10 pelajar ke bawah (dalam satu-satu masa) kerana kita pentingkan kualiti.

“Ini juga memudahkan kita memberi tumpuan untuk mengajar setiap pelajar secara individu. Dengan cara ini kita dapat hasilkan penulis kaligrafi Islam yang berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang ingin belajar serta menguasai seni itu perlu mempunyai minat serta ketekunan yang tinggi.

Pelajar akan melalui 3 peringkat pembelajaran iaitu penulisan menggunakan pensil, berikutnya menggunakan pen dan yang terakhir pena dakwat celup.

“Perlu ada peringkat berdasarkan alat penulisan yang digunakan. Mereka yang ingin belajar perlu tekun mengikuti beberapa peringkat ini. Lazimnya masa yang diperlukan ialah sekitar 2 tahun dengan latihan berterusan baru mereka boleh mula gunakan pena (dakwat) celup,” katanya.

Latihan berterusan untuk memahirkan diri

Menurut Rashidy, latihan serta amalan menulis kaligrafi Islam secara berterusan akan dapat memastikan ilmu penulisan itu kekal dikuasai penulisnya.

Seseorang perlu membuat latihan penulisan kaligrafi sebanyak 3 kali seminggu dengan masa lebih sejam untuk setiap sesi latihan. Setiap sesi latihan itu perlu dipantau oleh seorang guru.

“Kalau tidak tulis (kaligrafi Islam) lama-lama jadi malas dan bila sebulan atau 2 bulan tidak tulis ilmu itu akan mula hendak hilang, kemudian terhakis sedikit demi sedikit. Itulah sebabnya mengapa walau pakar macam mana sekalipun kena latih tulis jangan berhenti,” katanya.

Beliau berkata amalan membaca dan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran juga adalah antara amalan utama yang perlu dilakukan dalam memastikan penguasaan ilmu kaligrafi Islam itu.

Menurutnya lagi, surah Al-Qalam atau lebih dikenali sebagai Surah Pena adalah antara surah utama dalam kitab suci Al-Quran yang selalunya diamalkan penulis kaligrafi Islam dalam membantu mereka menguasai seni tulisan itu.

Fahami jenis tulisan khat

Ada 2 jenis khat yang perlu dikuasai pelajar yang baru mempelajari seni kaligrafi Islam iaitu Naskh dan Thuluth dan mereka perlu menguasai Naskh terlebih dahulu sebelum Thuluth.

Naskh adalah khat bentuk melengkung serta mudah yang digunakan dalam perutusan sebelum pakar khat mula menggunakannya bagi penulisan Al-Quran. Khat itu juga langsing dan lentur, tanpa sebarang penekanan tertentu serta amat mudah dibaca.

Thuluth pula adalah jenis tulisan memanjang menegak dan ia sinonim dengan dinasti Mamluk sekitar abad ke-14 dan ke-15.

“Dua jenis khat ini selalunya bila kita tulis orang akan (membaca) mudah faham, inilah yang utama dalam penulisan khat ini iaitu bila tulis khat itu kena susun dengan keadaan yang senang baca dengan sekali imbas sahaja.

“Ada yang buat kaligrafi Islam ini dengan khat yang berseni seperti jadi lukisan untuk hiasan, itu tiada masalah tetapi yang jadi masalah itu bila orang yang baca itu tidak faham. Nasihat saya jika hendak ajar kaligrafi ini ajar dan gunakan khat yang mudah faham,” katanya.

Anak murid belajar 6 tahun, kuasai 4 jenis khat

Seorang anak murid Rashidy iaitu Nur Zahidah Ridzuan, 18, sudah 6 tahun mempelajari seni kaligrafi Islam itu dan berjaya menguasai 4 jenis khat.

Beliau mengambil masa kira-kira 3 tahun hanya untuk menguasai tulisan khat Naskh dan Thuluth. Dua lagi khat yang beliau kuasai ialah Diwani dan Riq’ah.

Diwani adalah khat melengkung sinonim dengan zaman pemerintahan Uthmaniyyah iaitu sekitar abad ke-16 dan ke-17 dan ia adalah jenis khat yang mempamer konsep kecantikan dan ketepatan serta kemahiran seseorang penulis kaligrafi Islam.

Riq’ah pula lebih kepada khat biasa, cukup ditulis lurus dengan gerakan menulis dari atas ke bawah.

“Selain mengikuti kelas saya bersama rakan juga merujuk kepada buku tulisan khat untuk mempelajari khat lain di samping kaedah penulisan kaligrafi yang berbeza,” kata Nur Zahidah yang menambah beliau kini mendalami khat lebih kompleks antaranya Mutaakkis.

Mahu jadi penyambung legasi

Nur Zahidah yang pernah muncul Johan Seni Khat Perempuan pada Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan 2014 berkata minatnya terhadap kaligrafi Islam ini adalah disebabkan seni itu mampu menjadi medium untuk dirinya menenangkan fikiran.

“Saya tidak suka tempat bising, suka dalam keadaan senyap sunyi kerana menulis kaligrafi ini akan jadi lebih baik dengan keadaan senyap sunyi itu. Menulis kaligrafi juga membawa kita ke sebuah dunia tersendiri di mana fikiran kita boleh tenang,” katanya.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan itu berkata, beliau akan meneruskan legasi seni khat itu dengan terus menulis dan tidak menolak untuk mengajar seni itu kepada generasi seterusnya apabila mempunyai kepakaran yang mencukupi suatu hari nanti.

“Seni ini sesuatu yang perlu dibuat bersungguh-sungguh. Kaligrafi Islam bukan boleh minat sekejap lepas itu sudah tidak buat lagi. Kita perlu terus berlatih dan belajar benda baharu, maka baru kita akan punya kemahiran tinggi,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments