Home Tempatan Guru bahasa Arab perlu ikuti perkembangan teknologi

Guru bahasa Arab perlu ikuti perkembangan teknologi

SHARE

KUALA LUMPUR, 15 Syaaban 1438H, Jumaat – Guru bahasa Arab diminta mengikuti perkembangan semasa termasuk menggunakan aplikasi dan teknologi terkini bagi meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di negara ini.

Pengarah Pusat Pendidikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) Malaysia Dr Abdul Razif bin Zaini berkata, berdasarkan keperluan semasa pembelajaran bahasa Arab tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional lagi.

“Kami lihat pelajar sekarang lebih berminat kepada gajet dan teknologi, oleh itu guru perlu memanfaatkannya untuk memastikan kecemerlangan pelajar,” katanya kepada Bernama selepas majlis pembukaan Bengkel Pedagogi Pengajaran Bahasa Arab ke-21, di sini hari ini.

Bengkel sehari anjuran ISESCO Malaysia dengan kerjasama Pusat Bahasa Arab Selangor dan Institut Pendidikan Malaysia, Kampus Pendidikan Islam itu bertujuan membincangkan usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru melalui penggunaan teknologi terkini.

Seramai 220 guru sekolah yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia menghadiri bengkel itu.

Razif berkata, ISESCO Malaysia akan terus komited dalam merangka program bahasa Arab untuk guru, pelajar dan masyarakat awam bagi meluaskan lagi peranannya di seluruh Malaysia.

Pusat Pendidikan Pertubuhan ISESCO cawangan Malaysia ditubuhkan pada 22 Okt 2015 dan merupakan antara organisasi yang bernaung di bawah pusat pertubuhan itu yang berpangkalan di Rabat, Maghribi.

Antara negara yang menganggotai pertubuhan itu selain Malaysia ialah Brunei, Myanmar, China, Taiwan, Laos, Singapura, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.

Comments