Home Santai@menara Gunung Senyum Trek Yang Curam, Hancur, Hangus, Dan Pacak

Gunung Senyum Trek Yang Curam, Hancur, Hangus, Dan Pacak

SHARE

Gunung Senyum terletak di Felda Jengka 25, Jengka, Pahang dan mempunyai ketinggian 486 meter iaitu bersamaan 1,594 kaki. Walau bagaimanapun, Gunung Senyum kurang didaki oleh pendaki kerana batu kapur yang sangat curam dan merbahaya serta jika tersalah langkah, gaung menanti di bawah.

Gunung Senyum ini mempunyai 25 buah gua batu kapur dengan pelbagai nama unik dan klasik. Bagi yang tidak berminat mendaki, bolehlah datang ke Gunung Senyum untuk menerokai gua-gua unik yang terdapat di sana.

@fizahchedin_eija #gunungsenyum #hiking #pahang #ekspedisi

A post shared by menaradotmy (@menaradotmy) on

Kisah kali ini, ingin dikongsikan cerita pendakian memanjat Gunung Senyum batu kapur yang mengambil masa 4 jam mendaki dan 3 jam untuk turun semula ke kaki gunung. Waktu memanjat dan menurun gunung ini berubah mengikut tahap kelajuan pendakian juga.

Pada 22 Julai 2017, bermula jam 8 pagi, kami seramai 25 orang pendaki siap berkumpul di Hutan Lipur Gunung Senyum dengan wajah ceria dan penuh senyuman. Mendaki Gunung Senyum kan? Tersenyum lebih itu haruslah ada dan perlu. Pendaki yang datang bukan sahaja dari Negeri Pahang, ada juga yang datang dari jauh antaranya dari Negeri Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Selangor.

Walaupun datang dari jauh, semangat dan matlamat kami sebagai pendaki adalah satu, iaitu untuk menawan puncak Gunung Senyum dengan jayanya. Pendakian kami kali ini dipandu arah oleh 2 orang yang cukup berpengalaman iaitu Bro Leing Toya dan Bro Khaidir.

@fizahchedin_eija #gunungsenyum #pahang #hiking #ekspedisi

A post shared by menaradotmy (@menaradotmy) on

Sebelum pendakian, kami diberi sedikit taklimat mengenai keselamatan yang perlu diawasi kerana banyak tragedi yang tidak diingini pernah berlaku semasa pendakian akibat mengabaikan keselamatan ketika mendaki.

Sesudah habis taklimat yang diberikan oleh penunjuk arah, kami membuat sedikit regangan badan dan sebelum memulakan perjalanan kami berdoa beramai-ramai dahulu supaya pendakian kami dipermudahkan oleh Allah. Semua pendaki sudah bersedia untuk memulakan pendakian. Untuk sampai ke trek pendakian, kami perlu berjalan dahulu merentasi ladang kelapa sawit yang mengambil masa 30 minit perjalanan sebelum sampai ke kaki gunung.

Tepat jam 9 pagi, kami sampai di kaki Gunung Senyum, cabaran pendakian sudah menanti, laluan bertali untuk mendaki naik ke atas batu kapur yang curam. Bayangkan jika tali yang dipegang tidak kemas, padah gaung menanti di bawah, di sini juga pendaki akan diuji tahap gayat yang membolehkan hati menjadi berdebar-debar dan boleh membuat kaki dan tangan menggeletar kerana melihat gaung yang sangat dalam.

Selepas cabaran pertama berjaya dilalui, kami beralihpula ke cabaran ke-2 iaitu cabaran pelantar hijau dilereng gunung, di pelantar ini seorang demi seorang sahaja perlu ada di atasnya kerana ia tidak boleh menampung beban yang banyak. Bayangkan gayat yang tadi pun belum hilang, di atas pelantar ini, gayat bertambah dua kali ganda. Semasa berjalan haruslah berhati-hati supaya tidak tersalah langkah, jika tersalah langkah dan keselamtan tidak diutamakan gaung menanti dibawah. Jika terus fokus, halangan ini pasti dapat dilalui dengan mudah sahaja.

Selepas cabaran melalui pelantar hijau, kami mendaki dan mula bermain dengan batu-batu kapur yang teramatlah tajam. Bagi tangan yang halus mulus tu, bersedialah untuk menjadi kasar dan menyebabkan luka jika tidak memakai sarung tangan.

Untuk mendaki Gunung Senyum ini haruslah berbekalkan air yang mencukupi, seelok-eloknya 3 liter air atau lebih kerana tahap kepanasan yang melampau dan hangus kerana haba dari batu kapur.

Jika tidak mahu tangan kasar dan luka, jangan lupa bawaksarung tangan/glove serta Panadol sekali kerana kepala akan menjadi cepat pening dan cepat mual jika tidak tahan kepanasan bahang matahari.

Perjalanan ke Base 2 iaitu Curam Gurun, mengambil masa lebih sejam, bermain dengan batu-batu kapur yang sangat tajam dan pacak, di sini memerlukan kekuatan tangan untuk memanjat batu-batu tersebut dan kekuatan memaut akar-akar yang terdapat di lereng batu kapur tersebut.

Sesudah sampai di Base 2 Curam Gurun, kami berehat sebentar, untuk menghilangkan dahaga sebelum memulakan pendakian semula. Sambil berehat, kami dapat menikmati pemandangan yang mendamaikan iaitu pokok-pokok sawit yang tersergam indah nun jauh di bawah walaupun matahari sudah terpacak di atas kepala, dari base 2 dan ke base 3 iaitu mengambil masa 1 jam pula pendakian.

Sampai sahaja di Base 3 iaitu Puncak Hangus, kami berhenti untuk makan tengahari dan bergambar beramai-ramai. Bayangkan, sebab terlalu penat selera makan pon kian hilang tetapi paksa juga makan untuk menambah tenaga untuk ke puncak dan tenaga untuk turun kekaki gunung pula nanti, waktu ini hanya fikirkan air sahaja sebab terlampau dahaga.

Selesai berehat di Puncak Hangus, misi terakhir kami iaitu untuk sampai ke puncak Gunung Senyum yang mengambil masa 20 minit sahaja dari Puncak Hangus. Laluan ke puncak pun sama dan memerlukan kita memanjat lagi batu-batu yang tajam, walaupun ramai pendaki kian penat tapi terpaksa gagahkan kaki melangkah untuk sampai betul-betul ke puncak. Ketika sampai di puncak, hilang segala penat lelah kerana pemandangan yang sangat cantik dan membuatkan setiap pendaki bersemangat merakam gambar-gambar kenangan di atas puncak Gunung Senyum.

Di atas Puncak Gunung Senyum, kami menikmati pemandangan dan bergambar. Setelah itu, bersedia untuk turun kembali ke Base 3 Puncak Hangus. Sewaktu turun kekuatan lutut memainkan peranan penting kerana bermain dengan kecuraman batu kapur. Di sini kami akan melalui laluan yang sama untuk turun semula ke kaki gunung.

Trek yang agak curam, panas, berbahaya membuatkan ada suara-suara pendaki mengatakan ini pertama dan terakhir mendaki Gunung Senyum ini. Trek memang agak kejam jika tersilap langkah boleh meyebabkan kemalangan yang tragis. Bagi yang belum pernah dan sukakan cabaran, ini adalah trek yang sesuai untuk anda daki.

Alhamdulillah, pendakian turun kami berakhir tepat jam 4 petang dengan selamat dan jayanya.

Penulisan ini telah disumbangkan oleh Nor Hafizah Che Din

Comments