Home Tempatan Guna MRT dengan tiket tanpa tunai

Guna MRT dengan tiket tanpa tunai

SHARE
SUNGAI BULOH 17 OCTOBER 2016. Percubaan perkhidmatan MRT di Stesen MRT Sungai Buloh. NSTP/SADDAM YUSOFF *** Local Caption ***

KUALA LUMPUR: Pengguna perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) fasa pertama laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dinasihatkan menggunakan kaedah pembelian tiket tanpa tunai untuk perkhidmatan itu berbanding pembelian token perjalanan secara tunai kerana ia lebih mudah dan cepat.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Rapid Rail Sdn Bhd, hari ini, promosi perkhidmatan percuma bagi perkhidmatan itu akan tamat esok dan pengguna akan mula dikenakan tambang antara RM1.20 sehingga RM3.90 bergantung kepada jarak perjalanan dan kaedah pembayaran tiket.

Katanya, orang ramai boleh menggunakan kad Touch n Go atau Kad Bulanan dan Mingguan MRT yang boleh dibeli di semua Pejabat Perkhidmatan Pelanggan di setiap stesen bagi memudahkan perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT Fasa 1 antara Sungai Buloh dan Semantan.

Bagaimanapun, penggunaan kad MyRapid hanya akan berkuat kuasa selepas pembukaan Fasa 2 perkhidmatan itu antara Semantan dan Kajang, dijangka Julai depan. “Bagi mereka yang menggunakan tunai, tambang yang akan dikenakan adalah antara RM1.20 sehingga RM3.90 namun bagi mereka yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai, tambang adalah antara RM1.20 sehingga RM3.40 sahaja. “Pelajar, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) pula diberikan diskaun 50 peratus dan mereka boleh mendapatkan token keistimewaan itu di mana-mana Pejabat Perkhidmatan Pelanggan di stesen MRT,” katanya.

Sementara itu, katanya pengguna juga akan dikenakan caj tambang RM1 sehala bagi perkhidmatan bas pengangkutan MRT dan pembayaran boleh dibuat menggunakan tunai atau kad Touch n Go. “Pelajar, warga emas dan OKU juga akan diberikan diskaun 50 peratus sekiranya membayar tambang secara tunai.

Namun pelajar perlu menunjukkan kad pelajar (sekiranya tidak memakai pakaian seragam), manakala warga emas dan OKU perlu menunjukkan kad pengenalan dan kad OKU. “Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung struktur tambang dengan melayari laman web kami di myrapid.com.my,” katanya lagi.

Berita Harian

Comments