Home Tempatan Guna Melayu Pukul Melayu, Melayu Rebah – Dr Sidek Baba

Guna Melayu Pukul Melayu, Melayu Rebah – Dr Sidek Baba

SHARE

Kuala Lumpur: Profesor Datuk Dr Sidek Baba menyatakan bahawa terdapat kecenderungan pihak tertentu menggunakan orang Melayu untuk menghancurkan kesatuan dan kekuatan orang Melayu di negara ini.

“Taktik menggunakan kaum Melayu untuk merebahkan orang Melayu ibarat menggunakan beliung berhulukan kayu bagi menumbangkan sepohon pokok. Pokok tidak boleh tumbang jika hanya menggunakan beliung sahaja,” kata beliau dalam sebuah forum anjuran Utusan Melayu (M) Berhad di Dewan Utusan dua hari lalu seperti yang dipetik oleh Utusan Online.

Beliau yang merupakan Profesor Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menyatakan kehancuran orang Melayu boleh mengakibatkan pelbagai natijah termasuk melemahkan agama Islam di Malaysia.

“Guna Melayu pukul Melayu, Melayu rebah. Ada kecenderungan memperalatkan Melayu dengan pihak-pihak tertentu.”

Oleh yang demikian, Dr Sidek menggesa orang Melayu dan Islam yang menjadi teras di negara ini agar sedar untuk terus mempertahankan kuasa politik yang mereka ada.

Beliau berkata, “Kuasa politik Melayu dan Islam amat penting supaya generasi akan datang terus terbela. Kalau tidak ada, bayangkan apa yang akan terjadi kepada orang Melayu dan umat Islam.”

Beliau turut menjelaskan bahawa gerakan melemahkan orang Melayu dan orang Islam di Malaysia didalangi oleh kumpulan agama yang aktif dalam parti politik serta kumpulan liberal dan pluralis.

“Perpecahan antara umat sangat ketara. Dipenuhi dendam dan kebencian yang mendalam. Pertahankanlah kekuatan umat Melayu sebagai teras.”

Comments