Home Tempatan Guna masjid untuk berpolitik boleh pecah belah umat Islam – Mufti P....

Guna masjid untuk berpolitik boleh pecah belah umat Islam – Mufti P. Pinang

SHARE

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata penggunaan masjid sebagai tempat untuk berkempen atau berpolitik dibimbangi boleh memecahbelahkan umat Islam.

Beliau berkata masjid adalah tempat untuk menyatupadukan umat Islam dan bukan untuk berpolitik kerana tindakan itu juga akan mencemarkan kesucian rumah ibadah berkenaan.

“Bila ada pertemuan dengan jawatan kuasa kariah masjid, saya akan nasihatkan mereka supaya tiada pihak yang datang ke masjid untuk memberi ceramah politik atau kempen kerana tidak mahu ada ia (masjid) di salah guna,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa yang berceramah di dalam Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang, Selangor baru-baru ini.

Ekoran itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka dan duka cita terhadap tindakan anggota Parlimen daripada PKR itu.

Wan Salim ditemui pemberita selepas melawat dua beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut akibat kemalangan jalan raya 28 April lepas.

Khairiyah Alissya Khosim, 10, dan adiknya Khaira Amni, 18 bulan yang cedera parah kedua-dua kaki mereka masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Comments