Home Tempatan Guna bahasa asing, apa kesudahannya?

Guna bahasa asing, apa kesudahannya?

Pemaju terus galak guna pada nama bangunan, PBT tutup mata

SHARE
TINJAUAN penggunaan bahasa asing pada bangunan-bangunan baharu sekitar Kuala Lumpur untuk ruangan skuad terjah di Lembah Pantai hari ini. - UTUSAN ONLINE/SYAWALUDIN SHAH ABDUL RAHMAN

MUKADIMAH: KUALA LUMPUR seolah-olah hilang identiti apabila semakin projek-projek komersial baharu menggunakan bahasa asing pada nama bangunan yang dibina. Fonemena ini bukan sahaja berlaku di pusat bandar raya, tetapi turut merebak ke kawasan perumahan dan bandar baharu sehinggalah ke pinggir bandar. Isu ini bukan baharu, sebaliknya kerap didedahkan media massa dan individu yang memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Skuad Terjah minggu ini meninjau projek-projek di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang semakin meminggirkan bahasa Melayu. Persoalannya masih berfungsikah peranan pihak berkuasa tempatan itu dalam merancang dan mengawal pembangunan di kawasan pentadbirannya?.

KUALA LUMPUR 24 Feb. –  BAGAIKAN cendawan tumbuh selepas hujan. Begitulah perumpamaan yang sesuai menggambarkan situasi terkini mengenai penggunaan bahasa asing pada nama bangunan di ibu negara.

Apa yang didedahkan media massa dan media elektronik juga lontaran suara mereka yang berjuang memartabat dan meng­angkat bahasa Melayu selama ini juga seolah-olah bagai mencurah air ke daun keladi.

Baik kepada kementerian yang bertanggungjawab, pihak berkuasa tempatan (PBT), apa­lagi pemaju projek.

Tinjauan Skuad Terjah ke kawasan pinggir kota di Desa Parkcity, Sunway Montana, Bangsar South dan Mont Kiara mendapati perumahan sedia ada mahupun yang sedang diba­ngunkan pemaju memperlihatkan bahasa Melayu semakin kalah dengan bahasa asing.

Bagaimana situasi ini boleh berlaku jika tiada kebenaran diberi pihak PBT.

Sepanjang tinjauan, Skuad Terjah berasa seakan berada di negara luar apabila hampir ke­semua nama projek perumahan dan komersial di situ dinamakan dalam bahasa asing serta sukar difahami malah tiada langsung signifikan nama tersebut dengan tempat itu.

Keterujaan pemaju berlumba-lumba menawarkan projek perumahan komersial dengan alamat perumahan unik dan elit secara tidak langsung memperlekehkan nama asal kawasan tersebut.

Contohnya, Kampung Ke­rinchi yang kini dikenali Bangsar South dan Desa Parkcity yang merupakan sebahagian Bandar Menjalara, di sini.

Kesukaran menyebut nama bangunan dalam bahasa asing mengelirukan apatah lagi campuran bahasa rojak perlu dipandang serius kerajaan dalam menamakan satu-satu bandar baharu terutama projek di bawah pemaju tunggal yang akan mengambil kesempatan atas pemilikan kawasan itu.

Benar, sebagai PBT, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan memerlukan pemaju untuk tujuan pembangunan sesebuah penempatan atau bandar baharu bagi memenuhi keperluan perumahan namun janganlah sampai mengadaikan maruah bahasa Melayu.

utusan online

Comments