Home Tempatan Graduan agama ‘import’ pandai bercakap tapi susah dapat kerja?

Graduan agama ‘import’ pandai bercakap tapi susah dapat kerja?

Seorang ahli akademik berkata walaupun graduan pengajian Islam yang menuntut luar negara lebih banyak ilmu, ramai yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan.

SHARE

KUALA LUMPUR: Sistem pembelajaran yang berbeza di luar negara dilihat antara faktor menyukarkan graduan pengajian Islam dari Malaysia sukar mendapat pekerjaan, kata pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Faisal Abdul Hadmid.

Faisal dari Akademi Pengajian Islam UM berkata ini antara punca mengapa jawatan tertinggi dalam jabatan agama Islam didominasi graduan Islam tempatan.

“Graduan Islam luar negara sukar mendapat pekerjaan sebab mereka tidak dilatih untuk bekerja. Mereka hanya dididik menjadi ustaz dan guru. Sebab itu kita lihat graduan Islam luar negara lebih pandai bercakap berbanding graduan Islam dalam negara.

“Tetapi mereka tidak dilatih untuk menjadi seorang pentadbir yang baik. Pergilah ke mana-mana (jabatan Islam), kalau jumpa seorang pegawai misalnya daripada pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mereka kebanyakan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Univeristi Putra Malaysia (UPM),” katanya kepada FMT.

Menurutnya, kebanyakan silabus pengajian Islam dalam negara mengikut kerangka yang kementerian inginkan.

Beliau bagaimanapun mengakui graduan pusat pengajian Islam di luar negara mungkin lebih banyak ilmu pengertahuan, “tetapi tidak cukup realisasikan dengan pengajian kerja”.

“Misalnya apabila belajar mengenai syariah di luar negara, mereka yang nak bekerja di sini tidak boleh menjadi peguam syarie. Tetapi mereka yang belajar di dalam negara ini boleh. Ini sebab mereka dilatih menjadi peguam syarie. Lapan bulan akan dilatih jadi peguam.

“Kalau nak jadi ahli ekonomi Islam, kami akan ajar asas-asas ekonomi, bursa dan baru pergi latihan,” katanya.

Menurutnya, sistem pengajian Islam di negara luar direka untuk keperluan setempat.

“Jadi jika graduan Islam luar ingin bekerja di dalam negara, mereka perlu menyesuaikan diri dengan sistem pengajian Islam dalam negara.

“Jika mereka boleh, mereka mempunyai kelebihan daripada graduan pengajian Islam dalam negara,” katanya.

Faisal, yang juga seorang graduan “import”, berkata jika dilihat daripada 118 pesyarah Islam di UM, hanya 6 orang graduan di Universiti Al-Azhar.

“Kami berenam berjaya meningkatkan kemahiran diri dengan menyesuaikan sistem yang ada dalam negara ini dengan sistem di Universiti Al-Azhar yang direka untuk Mesir.

“Jadi sebab itu kita lihat ada graduan Islam daripada lulusan luar negara seperti, Indonesia, Yaman, Arab Saudi dan Mesir tidak mendapat pekerjaan. Kalau dapat pun setelah menyambung diploma pendidikan terlebih dahulu sebab mereka di sana tidak dilatih bekerja di Malaysia,” kata Faisal.

Sebelum ini, peluang pekerjaan graduan Islam di negara ini terbatas kepada sektor pendidikan.

Katanya, ia kerana mereka tidak berminat bekerja dalam bidang lain.

“Misalnya pengambilan dalam satu semester jika mengambil 300 orang, 120 orang itu akan jadi guru atau pensyarah. Misalnya menjadi guru al-Quran, guru agama dan ada juga yang membuka kelas motivasi sendiri,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments