Home Tempatan GPMS Bidas Menteri Kewangan; Dakwa Gerakan Licik Cuba Hapuskan Bahasa Kebangsaan –...

GPMS Bidas Menteri Kewangan; Dakwa Gerakan Licik Cuba Hapuskan Bahasa Kebangsaan – Zamri Mohd Isa

SHARE

Kuala Lumpur – Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Zamri Mohd Isa membidas tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan Bahasa Mandarin di ruang rasmi kerajaan dan melihat ia adalah satu gerakan licik yang cuba menghapuskan secara perlahan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan Malaysia.

Menurutnya, beliau melihat tiada keperluan pun untuk menulis kenyataan media dalam Bahasa Mandarin seperti yang dilakukan oleh Guan Eng.

“Sebenarnya cukuplah sekadar Bahasa Melayu dan diterjemahkan di dalam Bahasa Inggeris untuk surat khabar dan untuk pihak antarabangsa mengetahui.”

Beliau berkata, sekiranya wartawan itu mahu menulis di dalam Bahasa Mandarin mereka boleh sahaja terjemahnya sendiri daripada kenyataan Bahasa Melayu yang dikeluarkan.

“Jelas sekali, langsung tidak ada keperluan pun kenyataan itu hendak dikeluarkan di dalam Bahasa Mandarin,” katanya.

Zamri Mohd Isa berkata, sepatutnya Guan Eng mengikut Perlembagaan Perkara 152(1) Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan kita sebagai rakyat Malaysia.

Menurutnya lagi, pengurusan rasmi berkaitan dengan kerajaan adalah wajib menggunakan Bahasa Melayu melainkan ada keperluan untuk menggunakan Bahasa Inggeris.

“Tetapi untuk menggunakan Bahasa Mandarin saya rasa tidak ada keperluan pun untuk beliau berbuat demikian,” ujarnya.

Ditanya mengenai kritikan yang mengatakan bahawa perbuatan tersebut sebenarnya membelakangkan dasar Bahasa Kebangsaan dan identiti setempat, Zamri Mohd Isa berkata, beliau tidak faham kenapa Guan Eng hendak buat kenyataan di dalam Bahasa Mandarin dan alasan yang dikeluarkan pun nampak tidak munasabah.

Jelas beliau, sepatutnya sebagai orang yang duduk di dalam kerajaan, menteri mesti menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mereka kerana ini adalah bahasa perpaduan dan beliau sendiri sepatutnya tidak seharusnya menggalakkan penggunaan bahasa-bahasa lain di dalam urusan rasmi kerajaan.

Persoalannya, alasan yang digunakan oleh Guan Eng bahawa mereka yang menegurnya bersifat perkauman, Zamri Mohd Isa menegaskan yang jelas mempunyai sifat perkauman adalah beliau iaitu Guan Eng sendiri.

“Pada saya mungkin dia kena belajar sedikit tentang perlembagaan negara dan rukun negara, kalau kita lihat Keluhuran Perlembagaan misalnya dia perlulah menghormatinya.”

Justeru, “Kalau dia (Guan Eng) sendiri tidak tahu menghormati perlembagaan negara, saya rasa dia kena letak jawatan sebagai menteri kerana dia tidak sepatutnya memberi contoh negatif kepada masyarakat dan perlu sedar urusan rasmi perlu menggunakan Bahasa Melayu iaitu bahasa rasmi, bukan sebaliknya.Tidak timbul isu rasis pun.”

Ditanya adakah perbuatan tersebut membakul sampahkan perjuangan Bahasa Melayu oleh ramai tokoh termasuk Saudara Anwar Ibrahim, Zamri Mohd Isa menjelaskan bahawa perbuatan Lim Guan Eng ini sedikit sebanyak memperlihatkan keangkuhan beliau dan cuba mendatangkan kemarahan rakyat.

Menurut beliau lagi, apa yang dilakukan adalah Guan Eng ialah beliau cuba menangguk di air keruh dan masyarakat awam pun tidak faham apa yang beliau cuba hendak perjuangkan dan jika beliau hendak bercakap soal perpaduan sekalipun mestilah menggunakan Bahasa Melayu dan perkara itu sememangnya sering diamalkan di seluruh negara.

Zamri Mohd Isa berkata, “Cuba bayangkan kalau kita gunakan tulisan Jawi di dalam semua urusan kerajaan, apa akan jadi kepada pihak-pihak yang tidak mempelajarinya.

“Kalau Lim Guan Eng mahu begitu, saya cadangan selepas ini segala urusan rasmi kerajaan digunakan di dalam tulisan Jawi pula.”

“Kalau dia masih berdegil mahu menggunakan Bahasa Mandarin, kita perlu tetapkan penggunaan Bahasa Jawi di dalam semua urusan kerajaan pula, lihat apa akan jadi.”

Beliau seterusnya berkata, “Sebenarnya, saya berpendapat ini adalah salah satu usaha dan cubaan oleh mereka secara halus bagi membentuk Malaysia baru yang diwar-warkan mengikut acuan mereka sendiri dan kini sedang bergerak secara perlahan-lahan.”

Comments