Home Tempatan Golongan muda perlu fasih bahasa Malaysia

Golongan muda perlu fasih bahasa Malaysia

SHARE

SHAH ALAM – Semua rakyat di negara ini perlu fasih bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa rasmi dan lambang kepada negara.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Cheong Sin Mun, adalah menjadi kewajipan kepada semua warganegara Malaysia untuk fasih bertutur dan boleh menulis Bahasa Malaysia supaya dihormati oleh orang lain.

“Sebagai contoh, terdapat segelintir ahli parlimen yang kurang fasih berbahasa Malaysia. Ini menyebabkan mereka ketika menyertai perbahasan, gagal memberikan pandangan dan rayuan, malah  tidak dihormati oleh orang lain,” kata Sin Mun kepada Sin Chew Daily.

Menurut beliau, beberapa negara maju di dunia seperti Jepun, Korea dan Jerman telah menggunakan bahasa masing-masing dalam pelajaran Sains dan Matematik.

“Teknologi mereka jauh lebih maju dari negara-negara lain. Mereka tidak perlu menggunakan Bahasa Inggeris.

“Oleh itu, kita tetap boleh menggunakan Bahasa Malaysia untuk pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah menengah.

“Bagaimanapun, Bahasa Inggeris perlu diperkasakan sebagai persediaan memasuki ke peringkat universiti,” katanya.

Sin Mun turut setuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sekolah kebangsaan, selain menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, ia juga perlu memperkasakan Bahasa Inggeris selain menjadikan Bahasa Tamil, Cina dan Arab sebagai subjek pilihan serta menyediakan pendidikan berkualiti, dan mempunyai komposisi guru serta murid pelbagai kaum.

Sinar Online

Comments