Home Tempatan Golongan modenis, feminis di Malaysia ejen Free Thinkers

Golongan modenis, feminis di Malaysia ejen Free Thinkers

SHARE

BANGI, 21 Zulkaedah 1438H, Isnin – Golongan modenis dan feminis yang menolak nilai Islam dan menganggapnya terlalu konservatif, serta mengatakan amalan budaya hidup masyarakat negara ini perlu dinilai semula, termasuk ‘bin Abdullah’, sebenarnya memiliki pemikiran sama dengan Free Thinkers di Barat.

Golongan yang berfikiran seperti itu berpendidikan tinggi dan menganggap nilai Barat lebih mulia daripada nilai Islam, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.

“Mereka mengatakan sebahagian amalan budaya kehidupan negara ini perlu dinilai semula. Hal ini termasuklah amalan ‘bin Abdullah’ kepada anak-anak tak sah taraf, wanita menjadi imam, kewujudan golongan ateis dan LGBT.

“Kepompong pemikiran ini boleh disamakan dengan gerakan Free Thinkers yang wujud di Barat. Matlamat gerakan Free Thinkers ini adalah memisahkan agama daripada politik, kehidupan dan juga amalan budaya nilai-nilai Islam,” katanya.

Sedangkan, katanya, masyarakat Barat menghadapi krisis sosial yang teruk, termasuk penagihan dadah, amalan seks bebas dan anak tak sah taraf menjadi budaya hidup mereka.

“Malahan budaya seks luar nikah bagi golongan remaja yang berumur 12 tahun ke atas adalah satu kebiasaan. Amalan tersebut dianggap sebagai kematangan naluri manusia. Ini disebabkan sebahagian besar masyarakat Barat hari ini tidak lagi mempercayai Tuhan.

“Mereka terlalu memuja realiti sains yang berdasarkan fakta dan bukti. Tuhan dianggap tidak boleh dibuktikan dalam kuantum sains. Justeru, Tuhan tidak wujud. Inilah bahana gerakan Free Thinkers jika dibiarkan tanpa adanya perundangan yang dapat memulihkan golongan ini,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Dr Iskandar Hasan berkata, Free Thinkers melihat nilai-nilai Islam di negara ini tidak mampu menangani permasalahan integriti, keadilan, kebebasan dan sebagainya.

“Amalan budaya Islam dilihat semakin merosot dengan pertambahan kes-kes penderaan seksual, gejala sosial dalam kalangan remaja, buli dan rasuah. Bagi mereka, nilai-nilai Barat yang mempunyai elemen kemanusiaan, keadilan dan kebertanggungjawaban adalah jawapan terbaik dalam menangani permasalahan yang melanda umat Islam negara ini,” katanya.

Golongan Free Thinkers juga katanya, mahu Malaysia mengamalkan kesederhanaan dengan mengetepikan nilai-nilai Islam, selain tidak mahu berasimilasi dengan budaya Islam sedia ada.

Katanya, pembawaan fahaman politik liberalisme untuk mengubah pasak negara yang dipersetujui dalam kontrak sosial turut menjadi agenda mereka.

“Goncangan pihak tertentu dalam kritikan ke atas sistem nilai budaya Islam di negara ini telah dipolitikkan oleh mereka. Matlamat pempolitikan nilai-nilai Islam yang dikaitkan dengan pasak negara bertujuan mengubah sistem pemerintahan negara ini.

“Maka tidak menghairankan apabila golongan ini mempersoalkan kedaulatan perundangan Islam dan juga kedudukan raja-raja Melayu. Mereka membentuk diri mereka sebagai pejuang modenis rakyat. Mereka adalah golongan yang memperjuangkan liberalisasi amalan Islam di negara ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kepemimpinan negara perlu menyatakan apa sebenarnya berlaku di negara ini tanpa mempolitikkan hubungan raja dan rakyat, kerana kegagalan berbuat demikian membolehkan folongan Free Thinkers mengambil kesempatan menyalahkan nilai-nilai Islam di bawah naungan raja.

Comments