Home Tempatan Golongan LGBTIQ di Malaysia

Golongan LGBTIQ di Malaysia

SHARE

BANGI: Kewujudan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Interseksual dan bukan heteroseksual (LGBTIQ) semakin mendapat perhatian umum di Malaysia. Ini kerana semakin ramai yang mendedahkan diri dan mengaku bahawa mereka merupakan salah seorang daripada golongan LGBTIQ. Tambahan pula dengan kumpulan aktivis yang secara terang-terangan menyokong dan memperjuangkan hak asasi golongan ini.

Menurut Encik Mohammed Yusof Bin Dawood Gany, seorang bekas pensyarah Kaunseling dan Psikologi, tiada statistik tepat berkenaan golongan LGBTIQ di Malaysia kerana mereka lebih suka menyembunyikan identiti dan tidak berani untuk membuat sebarang pengakuan terbuka atas sebab ia bukanlah suatu keperluan bagi mereka.

Apabila ditanya berkenaan punca-punca yang menyebabkan mereka berpaling dari fitrah yang dikurniakan oleh Sang Pencipta, Encik Mohammed Yusof menjawab, “Boleh dikatakan kesemua mereka memberikan naratif bahawa mereka sudah mempunyai ciri-ciri tersebut sejak daripada kecil lagi. Sebagai contoh, mereka berkelakuan seperti perempuan dan suka kepada rakan-rakan sejantina sejak di bangku sekolah.”

“Ada juga lelaki gay yang saya tanya dan mereka menjawab, mereka menjadi sebegitu kerana pernah mengalami pengalaman seksual sesama lelaki sewaktu kecil seperti dicabul atau diliwat oleh lelaki yang kebanyakannya adalah orang yang rapat dengan mereka seperti abang, sepupu, dan rakan-rakan di sekolah. Mereka rasa seronok, kemudian keseronokan itu berlanjutan sehingga ke hari ini”.

“Adapun, kebanyakan golongan gay Muslim menyatakan jawapan berbentuk spiritual bahawa, punca mereka jadi sebegitu adalah kerana Allah hendak menguji mereka dan mempunyai hikmah di luar pemikiran manusiawi”.

Encik Mohammed Yusof yang sedang melanjutkan pengajian PhD di UKM ini berpendapat bahawa, pendekatan penyelesaian secara spiritual adalah langkah yang terbaik bagi membantu golongan LGBTIQ yang beragama Islam. Ini berdasarkan kajian dan pemerhatiannya bahawa golongan ini sebenarnya amat memerlukan bimbingan agama melalui saluran yang betul. Jika pendekatan agama digunakan oleh pihak berkuasa dan masyarakat sekeliling dengan cara yang relevan dan dekat dengan jiwa golongan ini, maka, mudah untuk menarik kalangan LGBTIQ yang beragama Islam untuk kembali kepada fitrah.

“Daripada perkenalan dan kajian dengan golongan gay sebagai contoh, saya sering mendengar naratif-naratif daripada mereka yang dahagakan bimbingan agama. Saya sendiri pernah mengajar seorang kenalan gay untuk membaca Al-Quran dan bersolat. Malah ada juga kenalan gay yang memeluk Islam dan sudah pun mengurangkan aktiviti yang bersifat homoseksual setelah memeluk Islam. Ada juga kenalan yang dahulunya seorang cross-dresser, namun melalui kesedaran agama, beliau sudah berhenti berpakaian seperti perempuan.”

“Saya memuji pihak JAKIM dengan kerjasama Yayasan Ihtimam Malaysia di bawah kelolaan Ustaz Dr. Izwan yang telah melakukan inisiatif-inisiatif tertentu seperti video berdurasi pendek dan penerbitan beberapa bahan bacaan yang menerangkan permasalahan LGBT dalam kalangan Muslim serta cara berhadapan dengannya,” tambah beliau.

Comments