Home Surat Gila Pegang Anjing, ‘Anjing Gila’ Datang!

Gila Pegang Anjing, ‘Anjing Gila’ Datang!

SHARE

Di kala negara dilanda dengan polemik sentuh dan pelihara anjing. Tiba-tiba bala penyakit anjing gila yang dikatakan berasal daripada Kalimantan melanda negara.

Kita sememangnya sedih dengan beberapa kes penyakit anjing gila yang pada mulanya dilaporkan berlaku di Sarawak sejak kebelakangan ini. Setakat ini kes penyakit anjing gila yang dilaporkan telah mengorbankan empat orang mangsa. Takziah kepada ahli keluarga yang ditimpa musibah penyakit anjing gila.

Terbaru kes tersebut juga telah dikesan di Melaka. Kelmarin sebuah akhbar melaporkan 19 ekor anjing telah dibunuh di Kuala Sepetang. Walaupun banyak usaha diambil untuk mengekang pergerakan fauna daripada Sabah dan Sarawak daripada memasuki Semenanjung Malaysia, ianya tidak berjaya untuk mengekang daripada kes anjing gila daripada merebak. Kes di Sarawak juga masih belum dapat dimuktamadkan.

Oleh itu, kita menggesa supaya Kementerian Kesihatan dan kerajaan amnya untuk mengambil langkah yang lebih efektif untuk mengekang kes penyakit anjing gila daripada terus merebak ke lain-lain negeri di Semenanjung.

Penyakit anjing gila yang menyerang sistem saraf seseorang boleh membawa maut. Malangnya, mereka yang telah menunjukkan simptom-simptom seperti bersikap agresif, takut air, gagal menggerakan anggota badan dan koma lazimnya sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Semua itu hanya mengambil masa daripada satu sehingga tiga bulan sahaja tempoh jangkitan tersebut.

Jangkitan virus anjing gila adalah melalui air liur anjing dan juga cakaran haiwan yang telah dijangkiti. Lazimnya 99% kes penyakit anjing gila yang dilaporkan di seluruh dunia adalah disebabkan oleh gigitan anjing.

Langkah untuk mengekang wabak penyakit anjing gila tidak akan berjaya jika ianya tidak membabitkan khalayak ramai. Rakyat harus diberikan pendedahan yang mendalam tentang bagaimana ianya boleh merebak dan langkah-langkah pencegahan juga harus diwar-warkan.

Namun, kita pelik dengan penggunaan perkataan ‘rabies’ yang asing kepada majoriti rakyat di negara ini. Apa yang cuba disembunyikan? Terma penyakit anjing gila sudah ada dan digunakan sekian lama. Ianya lebih membumi dan mudah difahami. Ia juga menceritakan punca kepada penyakit tersebut, iaitu anjing, jadi mudah untuk menggesa untuk orang ramai menjauhkan diri daripada anjing. Namun, kenapakah terma bahasa Inggeris yang digunakan?

Adakah kefahaman masyarakat di luar bandar tidak penting?

Atau adakah kerana kita mahu menjaga hati segelintir daripada kita yang suka anjing, suka bela anjing, terma penyakit anjing gila kita tenggelamkan? Khasnya, apabila polemik sentuh anjing dan larangan dalam Islam mendapat perhatian ramai sebelum ini.

Adakah ini dasar Kementerian Kesihatan (guna terma ‘rabies’)? Persetankan nyawa orang awam?!

Comments