Home Tempatan Gesa henti kitar isu halal, haram

Gesa henti kitar isu halal, haram

SHARE
Asyraf Wajdi (kanan) dan Mustapa ketika sidang media di Pengkalan Chepa.

KOTA BHARU – Kekerapan isu yang dikitar semula terutamanya melibatkan hukum halal dan haram boleh menimbulkan kekeliruan umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki berkata, perkara tersebut seolah-olah sengaja dilakukan untuk meremehkan institusi agama terutama dalam konteks peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, biarpun sudah beberapa kali perkara berkaitan telah dijawab sejelas-jelasnya oleh Jakim, namun ia masih diulang semula daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Perlu direnungkan prinsip penting di dalam Islam adalah memastikan keabsahan berita yang diperoleh secara tuntas bukan sekadar kongsi maklumat sewenang-wenangnya berdasarkan sentimen dan juga andaian.

“Walaupun ada penjelasan tetapi kecenderungan dalam dunia sosial yang mana peperangan persepsi perkara negatif lebih mudah tersebar berbanding pada jawapan balas.

“Jadi prinsip yang utama dan penting terutama orang Islam ialah kembali kepada akhlak al-Quran supaya kita kena sentiasa bertabaiyun ataupun memeriksa maklumat itu secara  sahih dan tuntas,” katanya kepada media, semalam.

Terdahulu beliau berada sepentas bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam program Townhall Isu-isu Semasa bersama ketua jabatan serta agensi awam di sini, semalam.

Beliau mengulas kecenderungan isu halal dan haram yang sering kali tular di media sosial dan sengaja diulang bagi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat biarpun ia telah dijelaskan Jakim mahupun pihak berkaitan.

Sinar Online

Comments