Home Antarabangsa Gerakan #IAmAMuslimToo bantahan arahan sekatan Trump

Gerakan #IAmAMuslimToo bantahan arahan sekatan Trump

SHARE
GERAKAN #IAmAMuslimToo mengadakan tunjuk perasaan di Times Square, New York bagi membantah larangan perjalanan ke atas rakyat tujuh negara majoriti Islam yang dikeluarkan Presiden Donald Trump, Januari lalu. - Foto Reuters

NEW YORK: Gerakan #IAmAMuslimToo mengadakan tunjuk perasaan di Times Square di sini, bagi membantah larangan perjalanan ke atas rakyat tujuh negara majoriti Islam yang dikeluarkan Presiden Donald Trump, Januari lalu.

Ia juga bertujuan menonjolkan solidariti antara agama dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat (AS).

Larangan perjalanan itu berhadapan kecaman dari dalam dan luar negara dan kini berhadapan dengan tindakan perundangan di seluruh AS, hingga memaksa Trump berjanji merangka semula arahan eksekutif itu, seawal minggu depan.

Gerakan anjuran bersama usahawan dan penerbit Russell Simmons; Presiden Yayasan Persefahaman Etnik, Pendita Marc Schneier dan Pengarah Pusat Islam Jamaica, Imam Shamsi Ali, bermula di ‘Crossroads of the World’, iaitu lokasi di tengah Times Square, pada tengah hari semalam dan berterusan hingga jam 4.00 petang.

“Kita berada di sini, hari ini bagi memberikan petanda yang baik kepada rakyat Amerika dan memberitahu bahawa mereka sudah dikelirukan, menerusi tindakan dan niat kita yang betul.

“Kita bersatu di sini kerana Donald Trump. Kita sepatutnya berterima kasih kepadanya kerana menyatukan kita,” kata Simmons.

Sementara itu, Scheiner berkata, perhimpunan itu adalah untuk rakyat AS.

“Anda faham mengapa? Sebarang masalah yang berlaku kepada komuniti Islam, iaitu sebahagian masyarakat, adalah masalah kepada seluruh rakyat AS,” katanya.

Perhimpunan itu turut dihadiri pelakon terkenal, Susan Sarandon, yang mengutuk larangan perjalanan itu sambil menggesa semua rakyat bersatu tanpa mengira agama dan latar belakang.

“Jika anda berdiam diri, itu maknanya anda bersubahat,” kata pelakon itu. – AGENSI

Berita Harian

Comments