Home Tempatan Generasi muda tambah ‘saham akhirat’

Generasi muda tambah ‘saham akhirat’

SHARE

SHAH ALAM: Kesedaran dan kefahaman generasi muda tentang kepentingan berwakaf semakin baik malah medium itu kini menjadi instrumen pilihan golongan tersebut untuk menambah ”saham akhirat”.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar berkata ini kerana sejak penubuhan badan mengurus wakaf itu pada 2011, ia menjadi platform yang diyakini golongan terbabit dalam beramal jariah.

Beliau berkata berbanding tempoh 10 tahun kebelakangan ini, generasi muda yang rata-rata berpelajaran kini dilihat semakin terbuka serta serius dalam mendalami dan memahami ilmu agama menyebabkan faktor tersebut menyumbang kepada perkembangan sektor wakaf.

Beliau berkata hikmah berwakaf kini juga bukan sahaja dihadam generasi berumur 25 tahun ke atas, namun kelebihan amal jariah itu turut menarik minat golongan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bersama-sama melaksanakannya.

“Misalnya, sebuah IPT swasta di Kajang, mereka menjadi institusi pendidikan pertama mewujudkan tabung wakaf atau ”Wakaf Syiling” untuk menggalakkan dan melatih penuntut mereka supaya sentiasa beramal jariah.

“Bagi golongan penuntut yang mahu mula mengamalkan wakaf wang, jumlahnya tidak perlu banyak sebab difahami perbelanjaan mereka terhad. Namun, jika mahu juga tambah saham akhirat, RM1 sebulan atau RM5 satu semester sudah cukup memadai,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Jelasnya, tuntutan berwakaf dalam Islam adalah sunat dan jumlah wakaf wang atau cabang wakaf lain juga berdasarkan kepada keikhlasan individu, namun umat Islam harus melihat bahawa manfaatnya kepada pewakaf adalah amat luar biasa.

“Semakin banyak kita berwakaf, semakin banyak rezeki dikurniakan Allah kerana wakaf menyuburkan dan membuka pintu-pintu rezeki lain. Disebabkan itu, banyak dalil menggalakkan umat Islam sentiasa berwakaf,” katanya.

Beliau yakin usaha berterusan PWS dengan kerjasama media dapat memberi lebih pendedahan kepada masyarakat tentang kelebihan beramal jariah seterusnya mengukuhkan pembangunan sektor itu pada masa depan.

Comments