Home Tempatan Ganding bahu kekalkan perpaduan antara kaum

Ganding bahu kekalkan perpaduan antara kaum

SHARE
Idris Haron

MELAKA – Pemimpin dan rakyat digesa berganding bahu bagi mengekalkan perpaduan, kerjasama dan nilai toleransi antara kaum agar keharmonian di negara ini dapat dikekalkan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata untuk menjamin kelangsungan itu, semua pihak perlu bersatu bersama kerajaan dalam mengatasi apa juga cabaran, tekanan dan masalah yang dihadapi oleh kerajaan.

“Dengan adanya perpaduan kaum, membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai pembangunan dengan lancar sekali gus dapat mempertingkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

“Penyatuan ini juga bagi memastikan pembangunan negara dapat terus dipacu menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 yang diyakini mampu memberi manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam tadi yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Idris turut mengingatkan masyarakat berbilang kaum di negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan berikutan suasana politik serta ekonomi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, beliau berkata masyarakat perlu menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai platform bagi mengukuhkan ikatan persahabatan antara kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian di negara ini.

“Berbeza dengan negara lain, kita lebih menarik, unik dan suasana keharmonian ini turut dijelmakan ketika musim perayaan di samping amalan kunjung-mengunjung serta majlis rumah terbuka,” katanya.

Lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka membanjiri perkarangan tempat letak kereta stadium bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Melaka itu. – Bernama

Sinar Online

Comments