Home Tempatan Gagal Faham Perlembagaan Persekutuan, Kewibawaan Helen Ting & Institusi Dipertikai Sarjana

Gagal Faham Perlembagaan Persekutuan, Kewibawaan Helen Ting & Institusi Dipertikai Sarjana

SHARE

Kuala Lumpur: Tindakan Dr Helen Ting mempertikaikan di dalam sebuah forum kenapa dakyah Kristian tidak boleh dilakukan kepada orang Islam di Malaysia sedangkan perkara sebaliknya dibolehkan menyebabkan kewibawaan institusi yang disertainya terjejas teruk.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (MAPAN-UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Dr Helen adalah Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebuah institut kajian penting di sebuah universiti terkemuka negara.

“Institut kajian seperti IKMAS mempunyai pengaruh terhadap pemikiran rakyat, jadi sangat penting bagi penerajunya mempunyai kefahaman yang betul mengenai konsep asas negara, khususnya Perlembagaan Persekutuan.”

Kata beliau lagi, “Bila Felo Utama IKMAS seperti Dr Helen mempunyai dan menyebarkan kefahaman yang salah terhadap Perlembagaan Persekutuan di dalam isu pendakyahan agama dengan mempertikaikan perkara yang jelas tidak dibenarkan (pendakyahan agama bukan Islam terhadap penganut Islam), maka komitmen IKMAS sendiri terhadap Perlembagaan Persekutuan sebenarnya boleh dipersoalkan.”

Dr Kamarul juga menegaskan, disebabkan isu ini mendapat perhatian masyarakat maka sangat penting bagi IKMAS dan UKM menjelaskan pendirian serta mengambil tindakan terhadap Dr Helen kerana mengeluarkan kenyataan yang mencalarkan reputasi mereka.

Turut perlu membuat penjelasan sama ada kenyataan Dr Helen ini mencerminkan pendirian mereka adalah penganjur forum ini, iaitu Kairos Dialogue Network, kerana Dr Helen sendiri adalah ahlinya.

“Malah, pada 7 Mac 2015, Dr Helen adalah salah seorang penandatangan satu dokumen Kairos Dialogue Network bertajuk “A Christian Social Vision for Malaysia” yang kononnya mahu bekerjasama dengan semua rakyat yang mahu menegakkan Perlembagaan Persekutuan, tetapi jika ahlinya sendiri mempunyai kefahaman yang salah terhadap Perlembagaan Persekutuan ini maka Perlembagaan Persekutuan yang salah jugalah yang akan ditegakkan olehnya.”

“Kairos Dialogue Network juga bercakap mengenai “promoting tolerance and mutual respect between the various racial and religious communities” dan “rejecting all forms of racial and religious extremism”, tetapi kenyataan ahlinya seperti Dr Helen ini menunjukkan ia sebenarnya adalah ekstrimis agama, jadi bagaimanakah toleransi akan mampu dipromosikan olehnya?” soal tokoh akademik tersebut lagi.

“Saya ada mengikuti perkembangan Dr Helen sebelum ini dan melihat bahawa beliau berkecenderungan untuk menghasut rakyat supaya berbuat sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.”

“Jika di dalam forum tersebut beliau menghasut penganut Kristian supaya melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan mendakyah kepada penganut Islam, dalam satu rencana terbitan ISEAS tahun lalu beliau menghasut penganut Islam supaya menentang hudud.”

“Dalam rencana bertajuk “The Politics of Hudud Law Implementation in Malaysia”, Dr Helen menulis “the clearly alarming sign is the relatively low level of concern if not tacit support that has been aired in the public sphere (on the implementation of hudud) by the Malay civil society thus far”.” Tegas Dr Kamarul.

Pada pandangan Dr Kamarul, kenyataan-kenyataan seperti Dr Helen ini sebenarnya mengukuhkan lagi pendapat bahawa memang terdapat kumpulan radikal evangelis yang mahu mengKristiankan Malaysia seperti “diakui sendiri oleh Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari DAP, Joshua Woo, sebelum ini.”

“Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan bertindak tegas menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada terhadap kumpulan radikal evangelis ini kerana kumpulan ini jelas wujud dan menjadi ancaman terhadap keharmonian dan kedaulatan negara,” tambahnya tegas.

Comments