Home Tempatan G25 Tawar Diri Siasat Insiden Kebakaran Tahfiz

G25 Tawar Diri Siasat Insiden Kebakaran Tahfiz

SHARE

Kuala Lumpur – Kumpulan G25, dalam kenyataan yang dikeluarkan berkenaan insiden kebakaran tahfiz, menawarkan diri untuk turut terlibat sama di dalam mana-mana jawatankuasa yang ditubuh bagi menyiasat insiden malang yang menimpa Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampong Dato’ Keramat.

“G25 mempunyai di kalangan ahlinya bekas-bekas Hakim Kanan, pegawai kerajaan dan diplomat-diplomat yang boleh secara sukarela menganggotai jawatankuasa tersebut.”

“Malaysia sepatutnya tidak mengecualikan sekolah-sekolah agama daripada prinsip keadilan umum atau menyembunyikan masalah-masalah yang menghantui sistem pendidikan agama daripada penelitian pihak awam kerana ia akan menyebabkan tragedi-tragedi yang sama berlaku di masa hadapan.”

G25 turut menambah bahawa mereka akan menyumbangkan tenaga, masa dan kepakaran untuk membantu mencari sebab bagaimana dan kenapa tragedi seumpama itu boleh berlaku. Ia supaya jabatan-jabatan agama di dalam semua negeri dapat mempraktikkan kawalan yang lebih kemas ke atas sekolah-sekolah agama swasta ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), sebelum ini pernah mengeluarkan statistik yang menunjukkan lebih 211 sekolah tahfiz mengalami insiden kebakaran dalam tempoh 2015 hingga 2017.

Dalam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh pihak Bomba, pihak mereka menolak punca kebakaran berlaku di tahfiz tersebut disebabkan oleh litar pintas. Pihak Bomba juga tidak menolak terdapat kemungkinan kebakaran itu berlaku disebabkan oleh perbuatan khianat. Insiden masih dalam proses siasatan dan hasil penyiasatan akan diumumkan kelak.

Comments