Home Tempatan G25 dakwa RUU355 bersifat Islam radikal, rayu Ahli Parlimen tolak

G25 dakwa RUU355 bersifat Islam radikal, rayu Ahli Parlimen tolak

SHARE

BANGI, 7 Jamadilakhir 1438H, Isnin – Masih mengutamakan nilai dan kehidupan moden serta menyifatkan RUU355 sebagai bercirikan  Islamik radikal, kumpulan yang kononnya profesional Melayu – G25 – hari ini menulis surat terbuka merayu Ahli Parlimen supaya tidak  menyokong atau membatalkan RUU355 yang akan dibahas di Dewan Rakyat.

Menerusi surat yang disiarkan dalam sebuah portal liberal hari ini, kumpulan itu juga bimbang langkah meninggikan taraf Mahkamah  Syariah akan mencelarukan penguatkuasaan undang-undang.

“Hasrat untuk menjadikan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil amat membimbangkan dan pasti mengejutkan masyarakat  berbilang kaum akan apa lagi akan terjadi selanjutnya kepada sistem perundangan negara.

“Sistem penghakiman sekular yang selari dengan sistem syariah bukan saja melanggar Perlembagaan, bahkan pasti timbul kecelaruan dalam  penguatkuasaan undang-undang dan perintah-perintah tetap,” kata mereka.

Kekal dengan pendapat yang menjadi pegangan kumpulan itu iaitu dosa persendirian di antara seseorang dengan Allah tidak kaitan dengan  orang lain, G25 berkata, keutamaan wajar diberikan kepada pengukuhan pentadbiran kerajaan, institusi awam, pemerintahan dan  perundangan dalam menggalakkan integriti dan tadbir urus yang baik.

“Ia lebih bermanfaat dari mengintip dan membuka aib orang dan menghukum mereka seperti penjenayah. Dosa persendirian di antara  seseorang dengan Allah tidak menjejaskan orang lain atau ekonomi negara, walhal rasuah dan salah urus kewangan di kalangan ahli politik  dan pegawai perkhidmatan awam memberi gambaran yang institusi perundangan memihak kepada mereka yang memegang kuasa.

“Inilah gejala sosial yang boleh melumpuhkan ekonomi dan mengakibatkan rakyat bangkit merusuh,” kata mereka sambil menambah  pemerintahan yang baik, pemimpin yang jujur serta bertanggungjawab dan bersikap mengambil berat atas masalah orang-orang miskin dan  kurang bernasib baik harus diutamakan untuk kemajuan ekonomi dan sosial negara, kerana ia lebih Islamik daripada perlaksanaan hudud.

Menyatakan suasana di Malaysia lebih membanggakan berbanding negara Islam lain yang berpandukan sistem Islam, G25 juga mendakwa,  RUU355 adalah langkah bagi pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

“Hujah-hujah penyokong PAS tegas menafikan yang pindaan kepada RUU355 itu bertujuan melaksanakan undang undang jenayah Syariah,  iaitu Hudud. Rakyat curiga penafian ini kerana Kelantan di bawah kerajaan PAS sudah pun meluluskan Rang Undang-Undang Kanun  Jenayah Syariah II (1993) 2015.

“Rang Undang-Undang 2015 Negeri Kelantan ini memperuntukkan hukuman hudud untuk kesalahan-kesalahan seperti zina, mencuri,  merompak, liwat, minum arak dan murtad. Tetapi, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1995 tidak membenarkan mahkamah  syariah untuk menjatuhkan hukuman-hukuman hudud,” dakwa mereka.

Menurut mereka RUU355 akan menjauhkan pelabur perniagaan dan memberi implikasi ekonomi berisiko tinggi kepada Malaysia.

Kata mereka, perkembangan ekonomi di Malaysia yang mampu berkembang maju dalam jangka masa pendek amat membanggakan, di  kalangan negara-negara membangun, memerlukan sistem perundangan dan pengurusan yang baik bagi menarik pelabur.

“Ia merupakan sistem yang telah menjadi kebiasaan mereka dan mereka tahu tatacara seumpama di negeri mereka juga. Ia memudahkan  peralihan maklumat dan teknologi dan Malaysia dapat menerima manfaat untuk mengembangkan kemahiran serta daya saing di persada  antarabangsa.

“Negara pasti mengambil risiko besar dengan pelabur perniagaan asing dan domestik jika negara melangkah ke sistem perundangan yang  bercirikan Islamik radikal yang dipandang keras dan tidak progresif sehala dengan nilai-nilai dan kehidupan moden,” kata mereka.

G25 juga merayu AHli Prlimen mengimbas kembali dan memerhati pindaan kepada perlaksanaan undang-undang syariah harus dilakukan  berpaksikan kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan demi menegakkannya.

Comments