Home Tempatan Free Malaysia Today dan Malaysia Kini Ditegur Memutar Kenyataan Mufti Wilayah

Free Malaysia Today dan Malaysia Kini Ditegur Memutar Kenyataan Mufti Wilayah

SHARE

PUTRAJAYA: Dua portal media iaitu Malaysia Kini dan Free Malaysia Today (FMT) telah ditegur oleh Mufti Wilayah Persekutuan atas perbuatan mereka meletakkan tajuk akhbar yang jelas bercanggah dengan kesimpulan yang dibuat oleh Pejabat Mufti dalam artikel yang bertajuk “Hukum berdua-duaan di dalam kenderaan bersama pemandu bukan mahram”.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, tajuk yang seakan hanya mahu mengejar ‘visitor hits’ itu akan mengundang persepsi buruk dan komentar negatif dalam kalangan pembaca muslim dan bukan muslim yang boleh mencemarkan kredibiliti dan pendirian Pejabat Mufti yang selama ini begitu konsisten membawa gagasan keterbukaan berlandaskan syarak serta keharmonian antara kaum dan agama.

“Jika hanya melihat tajuk tanpa membaca kandungan, pembaca jelas akan menafsirkan bahawa Mufti melarang perbuatan khalwat dalam teksi, Uber, serta GrabCar. Ia juga memberi sentimen negatif kepada institusi fatwa yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif walaupun ia adalah sebaliknya.

“Tanpa menafikan saranan berkenaan, kami berpandangan sekiranya pihak Malaysiakini jujur dalam memberi laporan, sewajarnya kesimpulan akhir kami yang mengharuskannya berserta dhawabit yang telah kami sebutkan, lebih wajar dijadikan tajuk utama,” ujar Mufti Wilayah.

Beliau berkata, dalam artikel isu Uber dan UberEATS yang  dikeluarkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan, jelas memberikan solusi yang meleraikan kekeliruan pemandu Uber dan UberEATS Muslim. Namun, penjelasan solusi tersebut tidak dijadikan laporan oleh Malaysia Kini dan Free Malaysia Today.

Pihak Mufti Wilayah Persektuan menyeru kepada Malaysia Kini dan Free Malaysia Today agar lebih berhati-hati dalam memberikan laporan kerana kebanyakan laporan-laporan berkenaan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini tidak mencerminkan sikap media yang jujur dalam melaporkan sesuatu isu.

Comments