SHARE

Kuala Lumpur: Sebuah forum yang mengumpulkan sekumpulan pemikir, ahli akademik dan aktivis liberal ditempelak salah seorang daripada peserta sebagai berat sebelah kerana ‘subject matter’ yang dijadikan bahan perbincangan selama dua hari suntuk sepanjang forum tersebut berlangsung tidak dijemput sama untuk memberikan pandangan mereka.

Begitu dakwaan salah seorang peserta antarabangsa dari Amerika Syarikat, Sheikh Abdurrahman yang berharap sidang forum Istanbul Network for Liberty pada masa depan akan lebih adil dan menyarankan supaya ‘subject matter’ turut dijemput ke majlis untuk berkongsi tentang pandangan mereka dan bukannya para pengkaji ‘subject matter’ tersebut sahaja.

“Kita tidak boleh melabel sesuatu kumpulan itu tanpa mereka diberi peluang untuk berdialog dan berbahas bersama. Kalau kamu mahu bercakap tentang Jamaat Al Islami, lebih baik pihak penganjur menjemput Jamaat Al Islami datang dan bukannya para pengkaji Jamaat Al Islami sahaja.”

“Inilah masalah yang sering dihadapi oleh Muslim apabila orang lain yang bercakap bagi pihak kita dan bukannya kita sendiri,” tegas beliau lagi.

Wakil penganjur, Wan Saiful Wan Jan daripada Istanbul Network for Liberty kemudiannya cuba menerangkan bahawa forum akademik ini mengutamakan mereka yang menyediakan kertas kajian tentang ‘subject matter’.

Jawapan Wan Saiful kemudiannya dibalas oleh lelaki berketurunan Afrika Amerika daripada Islamic Circle of North America tersebut bahawa beliau yakin dikalangan ‘subject matter’ sendiri tentulah terdapat ahli-ahli akademik yang mempunyai kertas kajian untuk dihantar jika diminta.

Baru-baru ini, Istanbul Network for Liberty telah mengadakan sebuah persidangan antarabangsa yang kelima dengan kolaborasi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) bertajuk ‘Democratic Transitions In The Muslim World’.

Comments