Home Tempatan Fokus pembangunan masyarakat Orang Asli

Fokus pembangunan masyarakat Orang Asli

KKLW tumpu empat perkara termasuk berkaitan hal ehwal tanah

SHARE

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memberi fokus kepada empat perkara dalam pembangunan masyarakat Orang Asli tahun ini.

KUALA LUMPUR , 10 DISEMBER 2016 - Temubual Datuk Seri Ismail Sabri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat perkara tersebut adalah berkenaan hal ehwal tanah Orang Asli, pembangunan ekonomi, pemba­ngunan prasarana dan peningkatan kualiti hidup.

Jelasnya, untuk perancangan hal ehwal tanah Orang Asli, KKLW telah memperuntukan sebanyak RM43,476,500 melibatkan beberapa kerja dan projek yang akan dilaksanakan tahun ini termasuklah kerja-kerja ukur keliling untuk tujuan mewartakan tanah.

“Pada tahun lalu, tanah seluas 134,440.33 hektar telah direkodkan sebagai tanah berkaitan de­ngan Orang Asli meliputi tanah yang telah diwartakan, tanah yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ne­geri, tanah yang masih dalam permohonan, Orang Asli yang men­diami tanah kerajaan dan tanah hak milik individu.

“Pada tahun ini pula, KKLW memperuntukan sebanyak RM1,476,500 kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membuat kerja-kerja ukur tanah seluas 8,483.28 hektar untuk tujuan diwartakan,” katanya.

Projek perancangan hal ehwal tanah Orang Asli pada tahun ini termasuklah kerja-kerja pembinaan Cascade dan Monsoon Drain serta peralatan dewan, surau dan tadika di penempatan Orang Asli di Sungai Ruil, Cameron Highland, Pahang.

“Turut akan dilaksanakan tentunya projek pembangunan bersepadu perkampungan Orang Asli di seluruh negara yang meliputi pembinaan rumah menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) KKLW, jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air dan projek ekonomi serta ameniti sosial,” kata Ismail Sabri.

Dalam perancangan pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli pula terdapat dua elemen yang akan diberi fokus utama iaitu program pembangunan ekonomi dan program pembangunan usahawan.

“Program pembangunan eko­nomi ini merupakan penyedia­an projek-projek ekonomi yang berdaya maju dan mapan untuk me­ningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli seperti projek ladang komersial, projek ladang masyarakat, bantuan pertanian dan projek hands holding dan latihan pengembangan.

“Bagi program pembangunan usahawan pula adalah penyediaan peluang perniagaan dan rangkaian pemasaran kepada usahawan dan koperasi Orang Asli seperti bantuan premis perniagaan, bantuan peralatan perniagaan, bantuan geran koperasi dan kursus serta bengkel keusahawanan,” ujarnya.

Jelas Ismail, kedua-dua program tersebut akan dilaksanakan sepanjang tahun 2017 dengan peruntukan berjumlah RM7 juta.

Dalam aspek pembangunan prasarana, KKLW akan menaik taraf beberapa perkara termasuk menaik taraf Pusat Latihan Kemahiran Orang Asli bagi menampung kapasiti pelajar kemahiran yang lebih ramai bagi melahirkan masyarakat Orang Asli yang berkemahiran dan memenuhi tuntutan sektor pekerjaan.

“Selain itu, akan dilaksanakan juga program pembangunan bersepadu di Kampung Orang Asli Sungai Siput, Perak yang akan memberi manfaat kepada 4,300 penduduk.

“Juga akan dilaksanakan adalah projek menaik taraf sistem bekalan air terawat melalui pembinaan tangki simpanan dan penyedia­an sistem rawatan, rumah pam dan salur paip ke rumah-rumah. KKLW turut membangunkan sistem pangkalan data baharu yang lebih menyeluruh dan interaktif,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, pemba­ngunan prasarana ini akan menelan belanja sebanyak RM65,432,800.

Peningkatan kualiti hidup masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama kementerian. Oleh yang demikian, KKLW telah memperuntukkan sebanyak RM47,935,000 kepada JAKOA untuk digunakan dalam menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.

Peruntukan tersebut meliputi pembiayaan berkaitan kebajikan dan keperluan pelajar, bantuan kewa­ngan, pembekalan barangan dan pengurusan perkhidmatan berkaitan keperluan asas dan kesihatan masyarakat Orang Asli.

“Turut diberikan adalah peruntukan bagi peningkatan taraf hidup dan pembangunan modal insan masyarakat Orang Asli serta peruntukan bantuan bagi mena­ngani peningkatan kos sara hidup masyarakat Orang Asli yang me­rangkumi pemberian wang saku kepada pelajar sekolah, tambang pengangkutan pelajar dan bantuan bakul makanan,” ujar Ismail Sabri.

Utusan Malaysia

Comments