Home Tempatan FMT Pohon Maaf atau Berdepan Saman Fitnah – Ustaz Zamihan ASWAJA

FMT Pohon Maaf atau Berdepan Saman Fitnah – Ustaz Zamihan ASWAJA

SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Malaysia Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari memberi tempoh tujuh hari kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT) untuk menarik balik artikel dan pernyataan fitnah yang disiarkan di portal berita atas talian tersebut dan memohon maaf secara terbuka sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil ke atasnya.

Hal tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan akhbar yang diedarkan tokoh pendakwah yang kecewa dengan putar belit yang dilakukan FMT melalui artikel yang bertajuk “Pegawai JAKIM Selar Sultan Johor, Bidas Cina Tak Bersih”, yang disiarkan pada hari Selasa.

“Saya memandang serius artikel yang disiarkan Free Malaysia Today (FMT) bertajuk “Pegawai Jakim Selar Sultan Johor, Bidas Cina Tak Bersih”, yang disiarkan portal berita berkenaan pada Selasa kelmarin.

“Artikel itu jelas berniat jahat dan berunsur fitnah terhadap saya selain cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dengan Istana berhubung isu dobi Muslim. Bahkan FMT juga dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini.”

Beliau turut menamakan beberapa portal atas talian seperti Malay Mail Online (MMO), News Straits Times (NSTP) dan ahli DAP Dato’ Zaid Ibrahim untuk berbuat perkara yang serupa, jika gagal, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap mereka.

Presiden ASWAJA itu menegaskan beliau sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam video yang dipetik FMT jauh sekali menggunakan perkataan kasar, kesat dan menghasut. Namun beliau akur dan merafak sembah memohon ampun jika sebarang salah faham timbul. Malah bersedia mengadap DYMM Sultan Johor bila-bila masa saja jika Tuanku Sultan Johor berkenan.

Ustaz Zamihan Mat Zin juga kesal dengan usaha untuk mengaitkan beliau dengan JAKIM sedangkan sudah hampir 13 tahun beliau tidak berkhidmat untuk JAKIM.

“Paling ketara, niat jahat FMT terserlah apabila mereka secara jelas mengaitkan jawatan saya sebagai Pegawai Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam artikel berkenaan. Sedangkan saya hampir 13 tahun sudah tidak lagi bertugas di JAKIM. Bahkan kehadiran saya bagi menyampaikan kuliah agama di masjid berkenaan adalah atas kapasiti saya sebagai pendakwah Ahli Sunnah dan Presiden ASWAJA.

“Berdasarkan kronologi kes dan fakta maka jelaslah bahawa tindakan wartawan dan portal berkenaan sebenarnya membuktikan mereka bersikap anti Islam, memusuhi agensi agama Islam, khasnya JAKIM dan dilihat tidak pernah mahu menghormati hak dan sensitiviti Muslim di negara ini.”

Tambah beliau lagi, portal berita FMT dan MMO sengaja menimbulkan naratif yang bercelaru mengenainya demi merendahkan imejnya kerana ketegasan beliau dalam menegur isu-isu agama.

“Ini bukanlah kali pertama FMT dan sekutunya mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karakter saya. Posting artikel MMO pula memuatkan foto saya seolah-olah dalam keadaan menjelir lidah sewaktu menyampaikan ceramah. Saya percaya naratif itu sengaja ditimbulkan bagi mencetuskan kebencian sesetengah pihak terhadap saya, kerana saya seringkali menegur sesetengah pihak dengan tegas dalam isu-isu agama.”

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat artikel yang disiarkan oleh portal berita disiarkan FMT, MMO dan NSTP yang jelas berbaur hasutan dan cuba menimbulkan kebencian antara agama serta mencetuskan permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Comments