Home Tempatan FLOTILA KE 1,000 TELAGA TIUB

FLOTILA KE 1,000 TELAGA TIUB

SHARE

HARI keempat pelayaran kapal Nautical Aliya di Laut Andaman, Ketua Misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kurang sihat. Diserang selesema.

Tetapi beliau masih berada di anjung kapal bersama kapten, Mohamad Firdaus Faisal Mohamed meninjau perkembangan misi membawa bantuan kemanusiaan lebih 2,000 tan itu. Setiap hari sekitar pukul 10 malam, Abdul Azeez akan menelefon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan perkembangan terkini pelayaran.

Cabaran misi bermula di Laut Andaman. Arus bawah laut kuat. Tiupan angin sekitar 10 knots. Kapal memperlahankan kelajuan sekitar 16 kilometer sejam selama dua hari. Hari kelima 7 Februari, Nautical Aliya dihampiri kapal peronda laut Myanmar. Cara tentera itu datang agak menakutkan. Hanya selepas Abdul Azeez menghubungi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru tentera Myanmar memaklumkan bahawa mereka akan mengiringi kapal hingga selamat ke pelabuhan Yangon.

Dua hari kemudian, kapal mula keluar dari pelabuhan Yangon ke Teluk Bengal. Kawasan laut dipenuhi kelong yang memerlukan lebih tumpuan kapten kapal dari melanggar mana-mana kelong dan bot nelayan. Pada 13 Februari kira-kira pukul 1.30 pagi ketika masih di Laut Andaman, kapal hampir berlanggar dengan bot nelayan.

Rundingan

Keesokannya, Nautical Aliya diarahkan pihak berkuasa Bangladesih berlabuh di Cox’ Bazar. Empat kapal peronda tentera negara itu mengiringi kapal ke sana. Kapal berlabuh lebih lima jam di Cox’s Bazar. Rundingan berlangsung di atas kapal tentera laut Bangladesh disertai Abdul Azeez, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengarah Operasi Misi, Datuk Mohd. Farid Hassan dan Mohamad Firdaus.

Selepas tiga jam berunding setelah perbualan Najib dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Sheikh Hasina, Nautical Aliya akhirnya dibenarkan berlabuh di Chittagong dengan diiringi tentera laut Bangladesh.

Itu antara cabaran berliku ditempuh Abdul Azeez bersama 200 krew Nautical Aliya terutama 183 sukaralewan tempatan dan antarabangsa dari 19 NGO termasuk Perancis dan Amerika Syarikat.

Seminggu selepas Nautical Aliya berlabuh pulang ke pangkalannya di Pelabuhan Klang (23 Februari) disambut Hishammuddin, Mingguan Malaysia menemui Abdul Azeez di pejabatnya di Tabung Haji Rabu lalu bertanyakan perkembangan misi flotila berkenaan.

“Pada 10 Mac ini saya akan berlepas ke Bangladesh untuk memastikan proses pengagihan makanan di tiga kem pelarian di sana berjalan lancar.

“Apabila Parlimen bersidang nanti, saya akan berbincang dengan ahli-ahli Parlimen kita mengenai usaha negara membina 1,000 telaga tiub (tube well) di kem-kem pelarian di Myanmar dan Bangladesh membabitkan kos RM1 juta menerusi program H20.

“Turut akan dibina 10,000 tandas mobile di kem-kem pelarian di dua negara itu,” kata Abdul Azeez.

Komitmen

Apa yang diambil iktibar oleh Abdul Azeez dari misi yang diketuainya?

Kata beliau: “Misi ini membuktikan bagaimana perjuangan membantu umat Islam Rohingya merentasi batasan politik. Ia disertai ahli Parlimen yang berbeza ideologi politik yang masih boleh duduk dalam satu kapal dalam tempoh 20 hari pelayaran.”

“Ini misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke-40 tetapi inilah misi terbesar dan cukup luar biasa.

“Ramai yang akrab dengan saya menyuarakan kebimbangan mengenai aspek keselamatan. Ada menjangkakan saya tidak akan berjaya mengetuai kapal yang bergerak cuma 16 km sejam merentasi kawasan (Laut Andaman) sunyi sepi macam Lautan Hindi, tapi syukurlah ke hadrat-Nya segalanya selamat.”

Dalam misi flotila itu, Ahli Parlimen Pas Bachok, Ahmad Marzuk Shaary bersama Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir terlibat dengan pasukan peninjau diketuai Ketua Penerangan KP1M Datuk Razali Ramli. Mereka menjadi tulang belakang memastikan kelancaran masuk Nautical Aliya ke Pelabuhan Yangon dan Chittagong.

Komitmen Pas dalam misi itu diperlihat dengan kehadiran presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai Najib dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis pelepasan kapal misi, 3 Februari lalu.

Anak lelaki Abdul Hadi yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil turut menyertai flotila. Pas juga menghantar ketua delegasinya yang diketuai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhamad Sanusi Md. Nor dan ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali.

“Misi flotila ini membuktikan kepimpinan Perdana Menteri diiktiraf masyarakat dunia apabila ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar setelah Kuala Lumpur buka mata dunia berhubung isu penindasan etnik Rohingya ini.

“Misi ini juga mengajar kita rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan keamanan dan kestabilan negara,” kata Abdul Azeez.

Di atas Nautical Aliya tempoh hari, bersilih ganti solat jemaah, solat Jumaat, solat hajat, bacaan qunut Nazilah, zikir, khatam al-Quran. Juga, majlis tahlil untuk Mursyidul Am Pas sebelum ini, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketika tiba di pusat penyerahan bantuan Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) di Kem Pelarian Kutupalong, Teknaf pada 15 Februari lalu, Abdul Azeez dan rombongannya disambut oleh pelarian Rohingya yang beratur di kiri dan kanan sebatang jalan kecil.

Pelarian menitis air mata sambil meminta makanan. Keadaan serupa disaksikan di kem Balukhali dan kem Leda.

Utusan Malaysia

Comments