Home Antarabangsa Flotila: Bangladesh tetap tak benarkan aktivis turun

Flotila: Bangladesh tetap tak benarkan aktivis turun

SHARE
PRESIDEN Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (kanan) ketika membincangkan perjalanan menghantar barangan Misi Food Flotilla For Myanmar dari Chittagong ke Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto Syarafiq Abd Samad

PERAIRAN MYANMAR: Kapal Nautical Aliya masih berunding dengan Bangladesh untuk menurunkan semua aktivis dan sukarelawan misi flotila kemanusiaan di Pelabuhan Chittagong, Bangladesh.

Sehingga 2 petang waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia), misi flotila untuk membantu pelarian Rohingya belum menerima lampu hijau dari Dhaka untuk menurunkan penumpang.

Nautical Aliya belayar dari Pelabuhan Yangon, Myanmar, selepas menyalurkan 500 tan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya di Rakhine.

Ketua misi flotila yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berharap Kerajaan Bangladesh akan mengubah keputusannya.

“Kita harap Bangladesh atas semangat Islam dan setia kawan negara Islam dapat beri kelulusan (aktivis turun ke daratan),” katanya kepada media di atas Nautical Aliya.

Azeez turut mengumumkan misi flotila kemanusiaan itu akan menyalurkan lebih 2,000 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan di kem pelarian Kutupalong dan Musuni, Teknaf.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, menyifatkan pemilihan dua kem itu tepat memandangkan ramai pelarian Rohingya di situ.

Misi flotila itu dianjurkan KP1M dan MAPIM dengan sokongan 31 badan bukan kerajaan (NGO) ASEAN dan antarabangsa bertujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.

Berita Harian

Comments