Home Tempatan Fatwa – Memang ada campur tangan?

Fatwa – Memang ada campur tangan?

SHARE

Seorang anggota Jawtaankuasa Fatwa Pulau Pinang berkata, memang wujud campur tangan kerajaan negeri dalam proses mengeluar dan mewartakan fatwa di negeri itu.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Datuk Md Salleh Ahmad, campur tangan didakwa itu bukanlah daripada ketua menteri sebaliknya exco agama Pulau Pinang.

Kata Md Salleh, campur tangan itu berlaku apabila Datuk Abdul Malik Kassim mengarahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah yang sudah diwartakan, dibincangkan semula agar ia selari dengan pendirian kerajaan negeri.

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan pada 2010.

“Walau bagaimanapun, mesyuarat jawatankuasa fatwa pada 2010 tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang telah diwartakan, dikekalkan sebagai fatwa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Isu campur tangan kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang menjadi panas selepas ketua pemuda PAS negeri itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden, membangkitkannya baru-baru ini.

Kata Afnan, campur tangan itu juga menyebabkan khidmat mufti terdahulu, Datuk Hassan Ahmad, tidak disambung selepas 2014.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Abdul Malik dan juga Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Rentetan daripada kejadian itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, memberi tempoh 48 jam kepada dua akhbar arus perdana – Berita Harian dan New Straits Times – yang menyiarkan kenyataan Afnan Hamimi supaya menarik balik laporan mengenai isu itu dan membuat permohonan maaf terbuka.

Kegagalan berbuat demikian, kata Lim, akan mendorong pihaknya menimbangkan langkah selanjutnya ke atas akhbar terbabit.

Mengakui menyokong penuh kenyataan Afnan Hamimi yang juga bekas anggota majlis fatwa berkenaan, Md Salleh berkata, beliau “dukacita” terhadap Abdul Malik kerana campur tangan dalam hal fatwa negeri.

Kata Md Salleh, ada juga beberapa fatwa yang sepatutnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh ditangguh oleh exco agama.

Perkara ini pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

“Saya kesal dengan tindakan ini, seolah-olah kuasa exco agama dalam hal pemfatwaan lebih besar daripada kuasa jawatankuasa fatwa negeri.

“Oleh itu, saya minta supaya tindakan campur tangan politik ini dihentikan.

“Semua fatwa yang diputuskan hendaklah terus dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak perlu melalui mesyuarat exco kerajaan negeri,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan semalam dan turut disebarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) – yang terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia – melalui WhatsApp pagi tadi.

Comments