Home Tempatan Farouk Peru: Hudud Bercanggah Dengan Qur’an

Farouk Peru: Hudud Bercanggah Dengan Qur’an

SHARE

KUALA  LUMPUR – Aktivis bebas, Farouk A Peru telah diajukan beberapa persoalan yang diberikan kepadanya berhubung isu Agama Islam termasuk dakwaan beliau adalah dari golongan anti hadis.

Menurut Farouk, pertama sekali, kita perlulah memberi takrif yang tepat kepada persoalan ini. ‘Syariah’ itu, dalam bahasa tradisi Islam, merujuk sumber-sumber (secara tradisi: Quran dan Sunnah) yang diinteraksi dengan manusia (iaitu dalam proses fikah) untuk menerbitkan hukum-hukum (al-ahkaam).

Beliau berkata, “Dari sini pun, kita boleh lihat unsur-unsur campur tangan manusia dalam proses mendapatkan hukum, siapa yang memutuskan hadis mana yang boleh dipakai? Bukan Nabi.”

Katanya, “Mereka yang memutuskan apa itu usul-usul fikah kerana mazhab-mazhab Sunni tidak menggunakan usul yang sama. Mereka juga bukan Nabi. Siapa yang memikirkan hukum yang diterbitkan? Juga bukan Nabi.” Farouk berkata, “Jadi yang ditentang bukanlah otoriti Allah tetapi otoriti manusia.”

“Saya menentang kerana dalam bidang ini, hukuman yang dinamakan hudud semuanya bercanggah dengan ruh dan nas Al-Quran, dalam fahaman saya. Contoh yang paling jelas ialah hukuman untuk orang murtad. Dalam Al-Quran, kebebasan agama diberi dengan sepenuhnya. Dalam hadis, mereka akan dibunuh.”

“Jika kita menentang hukum Tuhan, maka kita akan mengundang bala, misalnya hukum untuk orang murtad di atas,” katanya. Menurut beliau lagi, “Ulama berkeras mahu memaksa segelintir orang Islam untuk tinggal dalam agama Islam walaupun mereka tidak beriman.”

Polisi ini menurutnya, melahirkan umat yang hipokrit yang hanya mengamalkan Islam seperti melepaskan batuk di tangga. “Tidak hairanlah mengapa dunia Islam terpincang disebabkan kita telah meninggalkan ajaran Allah,” katanya.

Mengenai persoalan, “Adakah terdapat ulama yang menyokong pendapatnya secara aktif dan siapakah mereka?”, Farouk menegaskan memang ada tetapi mereka sudah tidak bergelar ulama lagi umpamanya Ahmad Subhi Mansor daripada kumpulan Ahlul Quran di Mesir.

Menurut beliau, kita perlu juga mengambil kira banyak ulama ahlu sunnah yang menolak sebahagian daripada ajaran-ajaran tradisional. Kata beliau, di Malaysia pun, kita dapat melihat perbahasan di antara mereka malah pada tahap mufti-mufti lagi dan ini adalah kerana sebahagian daripada mereka telah kembali kepada Al-Quran dalam hukum itu, walhal sebahagian daripada mereka masih tegar dalam hadis umpamanya dalam isu kafir harbi tidak lama dulu.

Ditanya, “Apakah mazhab yang diikutinya?”. Beliau berkata, dia seorang Qurani (kata jamak: Quraniyun) aliran wujudiyah. Menurutnya, ‘Qurani’ bermaksud yang saya hanya menerima Al-Quran dalam fahaman saya sebagai otoriti dan aliran wujudiyah mementingkan manifestasi ayat-ayat Al-Quran dalam hidup sesorang itu dan bukannya dalam sejarah.

“Kami juga menekankan bacaan yang sensitif kepada penyusunan ayat dan surah (qira’ah munazzamah),” katanya. Beliau berkata, sesuatu ‘mazhab’ itu adalah koleksi hukum dan fatwa oleh ulama-ulama yang menggunakan manhaj mazhab tersebut dan ia adalah produk manusia secara keseluruhan dan Farouk berpendapat menyatakan hal keperluan untuk bermazhab itu adalah tidak perlu.

Katanya, “Jika anda rasa selesa menggunakan sesuatu mazhab itu (seperti kebanyakan orang Melayu adalah dalam mazhab Syafie) itu tidak menjadi masalah. Jika anda mahu mengambil hukum daripada pelbagai mazhab (seperti Syafie melompat masuk Hanafi apabila melakukan Haji supaya tidak batal air sembahyang), pun boleh.”

“Jika anda mahu menjadi Syiah atau Quranis, pun tidak menjadi masalah, pada saya yang penting, anda tetap melakukan kebaikan dan itu yang menjadi persoalan kerana itulah yang akan dihukum pada hari pembalasan kelak,” kata beliau.

Beliau berpendapat, Hadis dalam makna yang digunakan dalam fikah merujuk kepada percakapan, perbuatan dan takrir yang kononnya daripada Nabi namun yang menghairankan beliau ialah, jika benar hadis itu daripada Nabi, masakan falsafah daripada hadis berlainan benar daripada Al-Quran sendiri.

“Sebagai contoh dari segi fokus dalam agama, Al-Quran menekankan tentang kelakuan, etika dan moral kita, ia memberi falsafah ini melalui kisah nabi-nabi yang sebelum Nabi Muhammad, tetapi dalam hadis, ia lebih menekankan tentang ritual-ritual, samada ritual-ritual ini ‘sah’ atau ‘tidak’ ia menjadi persoalan memandangkan konsep ini langsung tidak ada dalam Al-Quran,” katanya.

Menurut beliau, sesuatu perbuatan, kalau ikutkan Al-Quran, mempunyai fungsi yang tertentu, bukan kira sah atau tidak atau mahu ‘score pahala’ dengan Tuhan, umpamanya solat dikatakan mencegah fahsha dan munkar (Surah Al-Ankabut, Ayat 45).

“Kita boleh lihat ada orang yang melakukan ritual solat tetapi ia tidak mereformasikan diri mereka dan apakah solat mereka sah atau tidak,” katanya. Ditanya mengenai kebenaran hadis yang datangnya dari Nabi beliau berkata, hadis telah dibukukan dalam bentuk yang kita lihat sekarang setelah 250 tahun Nabi meninggal.

Menurutnya, ada ulama yang mendakwa ada koleksi-koleksi awal hadis tetapi sarjana hadis Islam sendiri iaitu Mustafa Azami telah mengatakan yang manuskrip-manuskip koleksi awal ini tidak wujud. “Lagipun, saya ingin bertanya, jika benar ada koleksi-koleksi lama itu, kenapa orang Islam tidak memeliharanya dengan rapi? Bayangkanlah, jika umat Islam begitu sambil lewa dengan Al-Quran dan tidak mungkin mereka begitu.”

“Mereka (Orang Islam) begitu rapi menjaga Al-Quran sehingga sehuruf pun tidak hilang tetapi tidak dengan koleksi-koleksi kuno hadis, ini tidak mungkin,” katanya. Beliau berpendapat, adalah tidak mungkin kita dapat membuktikan hadis itu daripada Nabi, dan jika benar hadis daripada Nabi, maka format pemeliharaan hadis mestilah sama seperti Al-Quran sendiri.

Farouk berkata, peranan Nabi adalah membawa Al-Quran kepada manusia dan mendirikan institusi-institusi yang memelihara Al-Quran. Alhamdulillah, Nabi telah menjayakan misinya dengan sempurna, dan kini di serata dunia, kita melihat manusia membaca Al-Quran yang sama sahaja, malah sarjana Barat sendiri pun mengaku yang kewujudan Al-Quran adalah universal.

Kata beliau, bagaimanapun ada juga pihak-pihak yang mengatakan bahawa fungsi Nabi adalah untuk menjelaskan Al-Quran dan pendapat saya kepada mereka ialah Allah berfirman yang Al-Quran itu mengandungi ayat yang menjelaskan (ayatun bayyinat, Surah Yunus Ayat 15) yang orang yang tidak percaya pun akan faham dan jika kita meneliti ayat tersebut, apabila orang yang menolak membaca Al-Quran, bukan mereka tidak faham tetapi mereka mahukan pertukaran mesej Al-Quran.

Menurutnya, Allah berfirman yang Dia sendiri menerangkan ayat-ayat Al-Quran untuk kita memikirkannya (kadhalika yubayyinullahu lakum ayatihi la’allakum ta’qiloon, Surah Al-Baqarah, Ayat 242), maka jika ayat-ayat ini tidak cukup terang, mungkin kajian kita belum cukup mendalam.

“Menguatkan hujah di atas, Surah Al-Wa’qiah Ayat 79-80 menfirmankan yang hanya dapat menyentuh Al-Quran adalah orang yang membersihkan diri. Maka jika kita meneliti konteks, ini bukanlah penyentuhan secara fizikal (mintalah sesiapa pun menyentuh Al-Quran, tentu boleh!) tetapi tidak penyentuhan mesejnya,” katanya.

Beliau berkata, jika kita tidak faham sesuatu, saya cadangkan untuk kajilah dengan lebih teliti, Nabi pun disuruh untuk mencari ilmu sebelum wahyu datang kepadanya (Surah Taha, Ayat 114).

Comments